27 Ogos 2010

Haramkah kutip cukai?

Salam 17 Ramadhan. Semoga kita semua mendapat barakah dengan menghidupkan budaya membaca Al Quran.

Semenjak blog ini diterbitkan sudah ramai yang was was dan ragu ragu apakah hukumnya membayar cukai. Apatah lagi apakah hukum kerja mengutip cukai ini. Halalkah haramkah, haruskah. Saya bukanlah seorang pakar dalam hukum hakam ini. Jadi untuk mengetahui apakah hukumnya silalah baca artikel yang dipetik dari Utusan Malaysia seperti dibawah. Harap-harap dapatlah sesuatu darinya.

Bak kata Ustaz di radio Renung-renungkan dan selamat beramal.

Haramkah kutip cukai?
**Petikan Bicara Agama, Utusan Malaysia 05/05/2010.

MENJELANG April setiap tahun, kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) akan sesak dengan para pembayar cukai yang menjalankan tanggungjawab mereka terhadap negara.Mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967, semua yang mempunyai pendapatan di Malaysia wajib mengisytiharkan pendapatan sama ada yang diperoleh melalui sektor awam atau swasta.

Ia juga tanda penghargaan mereka kepada kemakmuran yang dinikmati. Tanpa kemakmuran Malaysia, mustahil mereka boleh mencapai pendapatan yang berguna untuk kehidupan mereka. Ringkasnya hubungan antara pembayar cukai dengan kemakmuran negara umpama simpulan rantai yang saling bertimbal balik dan tidak mungkin dipisahkan.

Namun begitu, ada pihak yang mempersoalkan tanggungjawab membayar cukai dengan alasan Islam tidak mewajibkan apa-apa bayaran selain zakat.

Mereka juga berhujah melalui hadis nabi SAW: "Pengutip cukai tidak akan masuk syurga (Sunan Abu Dawud & Musnad Ahmad)."
Hadis tersebut seolah-olah menggambarkan tindakan LHDN mengutip cukai bagi pihak kerajaan sebagai haram dan zalim. Ia juga membayangkan semua kakitangan LHDN turut bersekongkol dengan pekerjaan haram yang bakal menghalang mereka ke syurga.
Sebenarnya hadis di atas perlu dianalisis secara lebih adil dan saksama bagi mengelakkan kekeliruan.
Pada asalnya Islam hanya mensyariatkan zakat untuk tujuan mewujudkan keadilan ekonomi dan sosial dalam masyarakat.
Zakat berfungsi untuk mengimbangi jurang ekonomi antara orang miskin dan kaya. Namun begitu, agihan zakat adalah hak Allah yang hanya terbatas kepada lapan asnaf sahaja dan ia sama sekali tidak boleh disalurkan kepada golongan selain yang telah ditetapkan oleh al-Quran (al-Taubah: 60)
Secara logiknya, pihak pemerintah perlu memiliki dana lain (selain zakat) bagi tujuan urus tadbir negara seperti pendidikan, kesihatan, kemudahan asas, keselamatan dan sebagainya.
Berbeza halnya dengan zaman awal Islam, dana untuk tadbir urus negara Islam Madinah banyak ditampung oleh sumber lain seperti jizyah - cukai kepala kepada golongan bukan Islam (al-Taubah: 29), ghanimah: harta rampasan perang (al-Anfal: 1), khumus: 1/5 daripada keseluruhan ghanimah yang diperuntukkan kepada Allah & Rasul (al-Anfal:41) dan Fi': harta rampasan perang Islam tanpa berlakunya pertempuran (al-Hasyr: 6-7).
Rasulullah SAW pula bersikap zuhud dengan menyerahkan kembali bahagiannya daripada khumus kepada pengurusan negara Islam. Namun begitu, pergantungan kepada sumber-sumber di atas semakin mengecil dengan berkurangnya futuhat atau pembukaan wilayah baru Islam.
Saidina Umar al-Khattab semasa era pemerintahannya telah mengenakan cukai perniagaan sebanyak 10 peratus yang dipanggil usyur kepada peniaga kafir harbi (bukan Islam dari negara musuh), lima peratus kepada peniaga kafir dhimmi (bukan Islam yang bernaung di bawah negara Islam) dan 2.5 peratus kepada peniaga Muslim (Muwatta' Malik & Sunan al-Bayhaqi).
Pengurangan cukai diberi kepada peniaga Islam kerana mereka sudah mempunyai tanggungjawab membayar zakat perniagaan pada kadar tertentu.
Mekanisme cukai yang dibuat oleh Umar itu untuk menampung perbelanjaan negara Islam yang semakin mendesak.
Berpegang kepada zahir hadis yang menyatakan "pengutip cukai tidak akan masuk syurga" tanpa analisis mendalam, seolah-olah menyifatkan Saidina Umar masih lagi jahil sunnah nabi dan tidak akan ke syurga.
Kenyataan ini ternyata bercanggah dengan sebuah hadis yang menyatakan beliau adalah salah seorang daripada 10 sahabat yang dijamin syurga (Sunan Abu dawud, al-Tirmidzi, Musnad Ahmad).
Ia juga bercanggah dengan arahan Rasulullah SAW yang menyuruh kita mengikut sunnah Khulafah al-Rashidin selepasnya (Sunan Abu Dawud, al-Tirmidzi, Ibn Majah & Musnad Ahmad)
Menurut Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Fiqh al-Zakat, hadis yang mencela pengutipan cukai itu sebenarnya didatangkan dalam konotasi negatif (Sahib Muks).
Ringkasnya, perkataan muks merujuk kepada cukai yang dikutip dengan tujuan untuk menambah kekayaan pemerintah yang zalim dan konco-konconya serta menindas rakyat jelata. Hak rakyat pada cukai itu tidak dikembalikan sebagaimana sepatutnya.
Jurang ekonomi
Akibat daripada cukai sebegitu jurang ekonomi antara pemerintah dan rakyat jelata bertambah jauh. Sesetengah raja Arab pada zaman jahiliah biasa mengutip cukai tersebut.
Menurut majoriti ulama, pelaksanaan cukai oleh pemerintah sebenarnya berjalan atas asas Islam yang dikenali sebagai masalih al-mursalah, iaitu sesuatu peraturan baru yang terbukti mempunyai kepentingan dan faedah kepada umum walaupun tidak dinyatakan dengan jelas oleh al-Quran dan al-sunnah.
Pendek kata, cukai menjadi peringatan kepada rakyat bahawa mereka bertanggungjawab sepenuhnya menjaga setiap inci bumi yang mereka diami sama ada dengan harta atau jiwa raga.
Islam menegaskan bahawa para pemerintah wajib ditaati selagi mana mereka tidak menyuruh kepada maksiat. Sabda nabi SAW: Menjadi tanggungjawab setiap individu Muslim untuk mendengar dan mematuhi arahan pemimpin sama ada yang disukai atau dibenci (akan arahan itu) selagi mana mereka tidak menyuruh melakukan maksiat, apabila mereka menyuruh melakukan maksiat, maka tiada boleh lagi mendengar dan taat. (Sahih al-Bukhari & Muslim).
Kepatuhan kepada pemimpin dijelaskan lagi oleh al-Quran: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu (al-Nisa': 59).
Contoh terbaik bagi menimbulkan semangat patriotisme kepada negara dalam konteks membayar cukai, adalah kisah peperangan Tabuk yang berlaku pada musim panas tahun ke 9 Hijrah.
Demi menjaga kedaulatan Negara Islam Madinah, baginda Rasulullah SAW mengerahkan penduduk Islam Madinah ke sempadan Syam (Tabuk) bagi menyekat kemaraan tentera Rom yang berhasrat menakluk Madinah.
Misi perang Tabuk bukan hanya melibatkan pengorbanan jiwa raga, bahkan lebih utama lagi melibatkan pengorbanan harta.
Surah al-Taubah yang merekodkan peristiwa perang ini mengarahkan umat Islam Madinah keluar berjihad bersama Rasulullah SAW dengan harta dan jiwa raga mereka.
Cara al-Quran yang mendahulukan sebutan jihad dengan harta sebelum jihad dengan jiwa jelas membuktikan keutamaan sumbangan harta kepada negara mengatasi perkara lain (al-Taubah: 44,81 & 88)
Teori ini disokong lagi oleh ayat-ayat lain dalam al-Quran yang juga mendahulukan jihad harta sebelum jihad jiwa (al-Nisa': 95), (al-Anfal: 72), (al-Taubah: 20) dan (al-Hujurat: 15).
Allah mencela sikap kedekut sesetengah orang Islam yang enggan membelanjakan hartanya untuk mengisi dana perang. Firman Allah: Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil)...(al-Baqarah: 195).
Pembayaran cukai kepada negara sebenarnya mengandungi manifestasi jihad harta. Sebabnya, keselamatan negara adalah agenda utama pemerintah sesebuah negara dan pastinya segala bajet melibatkan aspek keselamatan berpunca daripada sumber cukai yang dibaktikan oleh setiap rakyat.
Setiap sen yang disumbangkan kepada negara dalam bentuk cukai seumpama sedekah jariah kepada negara yang telah berjasa sekian lama memayung kita.
Apabila membayar cukai, kita mesti menanamkan rasa bangga dengan kemajuan negara seperti bangganya seorang ayah atas kejayaan anaknya. Si ayah tanpa segan silu akan berkata: "Itulah anak saya. Kejayaannya itu adalah hasil titik peluh saya yang mendidiknya semenjak kecil."
Dalam konteks negara, dialog itu dibayangkan berbunyi: "Inilah Malaysia yang makmur hasil daripada sedekah jariah saya dalam bentuk cukai kepadanya. Saya mempunyai saham dalam setiap inci kemajuan yang dimiliki oleh bumi Malaysia."

Read More...

14 Ogos 2010

Arahan Kepada Majikan Supaya Memotong Gaji

Adakah baru-baru ini anda ada menerima surat dari LHDN memberitahu gaji anda akan dipotong mulai bulan September selama 7 bulan berturut-turut? Jika ya apa reaksi anda? Apa yang anda lakukan? Kenapa anda menerima surat ini?
Mesti ada yang marah-marah apabila melihat surat ini. Tapi ada juga yang buat tidak tahu sahaja. Apabila terima gaji sedikit (selepas dipotong cukai) barulah nak hubungi cawangan LHDN dengan marah-marah.
Sebenarnya jika anda menerima surat ini bermakna di dalam rekod LHDN anda masih berhutang dengan mereka. Betul ke anda berhutang? Kadangkala kita lupa hutang yang sedikit bila dikumpulkan beberapa tahun akan jadi besar. Nak sahkannya silalah hubungi Cawangan LHDN yang tertera di surat tersebut atau dail sahaja 1-300-88-1030. Dah sah anda masih berhutang? Tak mampu dengan amaun potongan tersebut? Mohonlah dipanjangkan ansuran tersebut. Anda boleh minta panjangkan bilangan potongan dengan syarat-syarat tertentu. Jika diluluskan kuranglah sedikit bebanan potongan bulanan anda. Hutang langsai, poket pun taklah kosong. Kalau dah habis bayar, tahun hadapan takdela dapat surat camni lagi. Yang paling penting, sebelum 30 April langsaikan semua baki cukai kena dibayar.

Sekian dulu untuk kali ini.

Read More...