Ramadhan datang lagi. Umat Islam berpuasa di siang hari dan beribadat di malam hari. Hari ini dah 15 hari berpuasa. Separuh bulan telah berlalu. Tinggal separuh bulan lagi untuk diharungi. Bermakna tinggal separuh bulan lagi untuk Syawal pula menjelma.
Di bulan Ramadhan ini banyak dugaan dan cobaan yang diterima oleh umat islam yang berpuasa. Di bulan inilah macam-macam komplen dibuat oleh pembayar cukai. Kalau tak sabar memang dah habis pahala puasa dibuatnya. Walaubagaimanapun oleh kerana dedikasinya warga Hasil semua komplen dapat ditangani dengan berhemah dengan layanan seindah senyuman.
Walaupun ramai beranggapan pada bulan Ramadhan ni warga Hasil akan duduk goyang kaki sahaja tetapi apa yang realitinya kerja-kerja harian berjalan bertambah rancak. Business as Unusual. Maklumlah target yang ditetapkan kerajaan semakin tinggi. Semakin banyaklah cukai yang kena dikutip bagi mencapai target yang diberikan.
Kehangatan Syawal diketepikan dahulu demi kerja-kerja yang tiada kesudahan. Pembayar cukai semakin demanding. Pelepasan yang semakin bertambah. Kalau tidak ditangani dengan betul tekanan yang dihadapi nanti tekanan darah pula yang naik. Jadi apa yang boleh dibuat banyak-banyakkan dibawa bersabar.
Rasanya cukuplah dulu untuk kali ini. Selamat berpuasa bagi yang berpuasa. Yang tidak berpuasa takleh raya ye. Macam cerita Upin & Ipin pulak. Jangan lupa bayar zakat Fitrah juga. Rebat yang tidak harus dilepaskan begitu sahaja.
15 Ogos 2011
Ramadhan dan Syawal
27 Ogos 2010
Haramkah kutip cukai?
Salam 17 Ramadhan. Semoga kita semua mendapat barakah dengan menghidupkan budaya membaca Al Quran.
Semenjak blog ini diterbitkan sudah ramai yang was was dan ragu ragu apakah hukumnya membayar cukai. Apatah lagi apakah hukum kerja mengutip cukai ini. Halalkah haramkah, haruskah. Saya bukanlah seorang pakar dalam hukum hakam ini. Jadi untuk mengetahui apakah hukumnya silalah baca artikel yang dipetik dari Utusan Malaysia seperti dibawah. Harap-harap dapatlah sesuatu darinya.
Bak kata Ustaz di radio Renung-renungkan dan selamat beramal.
Haramkah kutip cukai?
**Petikan Bicara Agama, Utusan Malaysia 05/05/2010.
MENJELANG April setiap tahun, kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) akan sesak dengan para pembayar cukai yang menjalankan tanggungjawab mereka terhadap negara.Mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967, semua yang mempunyai pendapatan di Malaysia wajib mengisytiharkan pendapatan sama ada yang diperoleh melalui sektor awam atau swasta.
Ia juga tanda penghargaan mereka kepada kemakmuran yang dinikmati. Tanpa kemakmuran Malaysia, mustahil mereka boleh mencapai pendapatan yang berguna untuk kehidupan mereka. Ringkasnya hubungan antara pembayar cukai dengan kemakmuran negara umpama simpulan rantai yang saling bertimbal balik dan tidak mungkin dipisahkan.
Namun begitu, ada pihak yang mempersoalkan tanggungjawab membayar cukai dengan alasan Islam tidak mewajibkan apa-apa bayaran selain zakat.
Mereka juga berhujah melalui hadis nabi SAW: "Pengutip cukai tidak akan masuk syurga (Sunan Abu Dawud & Musnad Ahmad)."
Hadis tersebut seolah-olah menggambarkan tindakan LHDN mengutip cukai bagi pihak kerajaan sebagai haram dan zalim. Ia juga membayangkan semua kakitangan LHDN turut bersekongkol dengan pekerjaan haram yang bakal menghalang mereka ke syurga.
Sebenarnya hadis di atas perlu dianalisis secara lebih adil dan saksama bagi mengelakkan kekeliruan.
Pada asalnya Islam hanya mensyariatkan zakat untuk tujuan mewujudkan keadilan ekonomi dan sosial dalam masyarakat.
Zakat berfungsi untuk mengimbangi jurang ekonomi antara orang miskin dan kaya. Namun begitu, agihan zakat adalah hak Allah yang hanya terbatas kepada lapan asnaf sahaja dan ia sama sekali tidak boleh disalurkan kepada golongan selain yang telah ditetapkan oleh al-Quran (al-Taubah: 60)
Secara logiknya, pihak pemerintah perlu memiliki dana lain (selain zakat) bagi tujuan urus tadbir negara seperti pendidikan, kesihatan, kemudahan asas, keselamatan dan sebagainya.
Berbeza halnya dengan zaman awal Islam, dana untuk tadbir urus negara Islam Madinah banyak ditampung oleh sumber lain seperti jizyah - cukai kepala kepada golongan bukan Islam (al-Taubah: 29), ghanimah: harta rampasan perang (al-Anfal: 1), khumus: 1/5 daripada keseluruhan ghanimah yang diperuntukkan kepada Allah & Rasul (al-Anfal:41) dan Fi': harta rampasan perang Islam tanpa berlakunya pertempuran (al-Hasyr: 6-7).
Rasulullah SAW pula bersikap zuhud dengan menyerahkan kembali bahagiannya daripada khumus kepada pengurusan negara Islam. Namun begitu, pergantungan kepada sumber-sumber di atas semakin mengecil dengan berkurangnya futuhat atau pembukaan wilayah baru Islam.
Saidina Umar al-Khattab semasa era pemerintahannya telah mengenakan cukai perniagaan sebanyak 10 peratus yang dipanggil usyur kepada peniaga kafir harbi (bukan Islam dari negara musuh), lima peratus kepada peniaga kafir dhimmi (bukan Islam yang bernaung di bawah negara Islam) dan 2.5 peratus kepada peniaga Muslim (Muwatta' Malik & Sunan al-Bayhaqi).
Pengurangan cukai diberi kepada peniaga Islam kerana mereka sudah mempunyai tanggungjawab membayar zakat perniagaan pada kadar tertentu.
Mekanisme cukai yang dibuat oleh Umar itu untuk menampung perbelanjaan negara Islam yang semakin mendesak.
Berpegang kepada zahir hadis yang menyatakan "pengutip cukai tidak akan masuk syurga" tanpa analisis mendalam, seolah-olah menyifatkan Saidina Umar masih lagi jahil sunnah nabi dan tidak akan ke syurga.
Kenyataan ini ternyata bercanggah dengan sebuah hadis yang menyatakan beliau adalah salah seorang daripada 10 sahabat yang dijamin syurga (Sunan Abu dawud, al-Tirmidzi, Musnad Ahmad).
Ia juga bercanggah dengan arahan Rasulullah SAW yang menyuruh kita mengikut sunnah Khulafah al-Rashidin selepasnya (Sunan Abu Dawud, al-Tirmidzi, Ibn Majah & Musnad Ahmad)
Menurut Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Fiqh al-Zakat, hadis yang mencela pengutipan cukai itu sebenarnya didatangkan dalam konotasi negatif (Sahib Muks).
Ringkasnya, perkataan muks merujuk kepada cukai yang dikutip dengan tujuan untuk menambah kekayaan pemerintah yang zalim dan konco-konconya serta menindas rakyat jelata. Hak rakyat pada cukai itu tidak dikembalikan sebagaimana sepatutnya.
Jurang ekonomi
Akibat daripada cukai sebegitu jurang ekonomi antara pemerintah dan rakyat jelata bertambah jauh. Sesetengah raja Arab pada zaman jahiliah biasa mengutip cukai tersebut.
Menurut majoriti ulama, pelaksanaan cukai oleh pemerintah sebenarnya berjalan atas asas Islam yang dikenali sebagai masalih al-mursalah, iaitu sesuatu peraturan baru yang terbukti mempunyai kepentingan dan faedah kepada umum walaupun tidak dinyatakan dengan jelas oleh al-Quran dan al-sunnah.
Pendek kata, cukai menjadi peringatan kepada rakyat bahawa mereka bertanggungjawab sepenuhnya menjaga setiap inci bumi yang mereka diami sama ada dengan harta atau jiwa raga.
Islam menegaskan bahawa para pemerintah wajib ditaati selagi mana mereka tidak menyuruh kepada maksiat. Sabda nabi SAW: Menjadi tanggungjawab setiap individu Muslim untuk mendengar dan mematuhi arahan pemimpin sama ada yang disukai atau dibenci (akan arahan itu) selagi mana mereka tidak menyuruh melakukan maksiat, apabila mereka menyuruh melakukan maksiat, maka tiada boleh lagi mendengar dan taat. (Sahih al-Bukhari & Muslim).
Kepatuhan kepada pemimpin dijelaskan lagi oleh al-Quran: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu (al-Nisa': 59).
Contoh terbaik bagi menimbulkan semangat patriotisme kepada negara dalam konteks membayar cukai, adalah kisah peperangan Tabuk yang berlaku pada musim panas tahun ke 9 Hijrah.
Demi menjaga kedaulatan Negara Islam Madinah, baginda Rasulullah SAW mengerahkan penduduk Islam Madinah ke sempadan Syam (Tabuk) bagi menyekat kemaraan tentera Rom yang berhasrat menakluk Madinah.
Misi perang Tabuk bukan hanya melibatkan pengorbanan jiwa raga, bahkan lebih utama lagi melibatkan pengorbanan harta.
Surah al-Taubah yang merekodkan peristiwa perang ini mengarahkan umat Islam Madinah keluar berjihad bersama Rasulullah SAW dengan harta dan jiwa raga mereka.
Cara al-Quran yang mendahulukan sebutan jihad dengan harta sebelum jihad dengan jiwa jelas membuktikan keutamaan sumbangan harta kepada negara mengatasi perkara lain (al-Taubah: 44,81 & 88)
Teori ini disokong lagi oleh ayat-ayat lain dalam al-Quran yang juga mendahulukan jihad harta sebelum jihad jiwa (al-Nisa': 95), (al-Anfal: 72), (al-Taubah: 20) dan (al-Hujurat: 15).
Allah mencela sikap kedekut sesetengah orang Islam yang enggan membelanjakan hartanya untuk mengisi dana perang. Firman Allah: Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil)...(al-Baqarah: 195).
Pembayaran cukai kepada negara sebenarnya mengandungi manifestasi jihad harta. Sebabnya, keselamatan negara adalah agenda utama pemerintah sesebuah negara dan pastinya segala bajet melibatkan aspek keselamatan berpunca daripada sumber cukai yang dibaktikan oleh setiap rakyat.
Setiap sen yang disumbangkan kepada negara dalam bentuk cukai seumpama sedekah jariah kepada negara yang telah berjasa sekian lama memayung kita.
Apabila membayar cukai, kita mesti menanamkan rasa bangga dengan kemajuan negara seperti bangganya seorang ayah atas kejayaan anaknya. Si ayah tanpa segan silu akan berkata: "Itulah anak saya. Kejayaannya itu adalah hasil titik peluh saya yang mendidiknya semenjak kecil."
Dalam konteks negara, dialog itu dibayangkan berbunyi: "Inilah Malaysia yang makmur hasil daripada sedekah jariah saya dalam bentuk cukai kepadanya. Saya mempunyai saham dalam setiap inci kemajuan yang dimiliki oleh bumi Malaysia."
20 Ogos 2009
Selamat Datang Ramadhan & Selamat Hari Merdeka ke 52 tahun
Beberapa hari lagi sekiranya dipanjangkan umur kita akan bertemu lagi dengan bulan Ramadhan yang sentiasa dinanti nanti oleh umat Islam. Bulan yang sinonim dengan ibadah puasa. Jadi apa kaitannya bulan Ramadhan yang mulia ini dan ibadah puasa dengan percukaian? Teruskan membaca....
Ramadhan tahun ini boleh dikirakan istimewa sedikit berbanding dengan Ramadhan yang lepas lepas. Ramadhan tahun ini akan berlaku beberapa peristiwa yang akan dan sentiasa diingati oleh Rakyat Malaysia khususnya.
Pertama, yang paling hampir pilihanraya kecil DUN Pematang Pasir. Seingat saya dalam seumur hidup saya ini pertama kali ada pilihanraya di dalam bulan Ramadhan. Selalunya pilihanraya umum atau kecil akan dilakukan di bulan-bulan lain selain bulan Ramadhan. Jadi pastinya semangat dia akan jadi lain. Mungkin boleh jadi seperti semangat sahabat-sahabat Rasulullah ketika berlakunya Perang Badar yang juga berlaku dibulan Ramadhan.
Kedua, kemudian adalah perayaan paling penting untuk rakyat Malaysia iaitu ulang tahun Kemerdekaan Tanah Melayu ke 52 tahun ataupun Hari Kebangsaan kita. Jarang sekali kita menyembutnya di dalam bulan Ramadhan. Mungkin sebab itulah untuk tahun ini Sambutan Hari Kebangsaan diadakan di Stadium Bukit Jalil. Tidak di Dataran Merdeka seperti biasa.
Mungkin anda rasakan posting kali ini tidak ada kena mengena dengan Cukai pendapatan. Sebenarnya ada kaitannya samada kita sedar atau tidak.
Pertama, bulan Ramadhan disamping umat Islam diwajibkan berpuasa ada satu lagi ibadah yang juga diwajibkan hanya di dalam bulan Ramadhan iaitu Zakat Fitrah. Zakat Fitrah ini diwajibkan keatas semua umat Islam yang hidup pada pagi 1 Syawal atau hari Raya Aidilfitri. Bayaran Zakat Fitrah ini juga telah diputuskan oleh Kerajaan dibenarkan sebagai tolakan kepada jumlah cukai yang kena dibayar oleh pembayar cukai. Walaupun nampak seperti jumlah yang sedikit, tetapi untuk yang mempunyai ahli keluarga dibawah tanggungannya yang ramai jumlahnya agak besar juga. Di negeri Selangor tahun ini Zakat Fitrah yang kena dibayar adalah sebanyak RM 7 seorang. Jadi jika ada tanggungan sebanyak 5 orang termasuk diri sendiri, jumlah zakat dibayar adalah RM 35. Untuk yang berpendapatan kecil hingga sederhana yang boleh kena cukai, dengan offset jumlah zakat yang dibayar ini ada kemungkinan tiada cukai perlu dibayar lagi.
Kedua, di dalam bulan Ramadhan ini juga Umat Islam dituntut memberikan derma dan sumbangan kepada badan badan kebajikan kerana amat besar pahalanya. Derma kepada badan kebajikan atau institusi yang diluluskan LHDN juga boleh ditolak daripada pendapatan kasar seseorang.Dengan syarat tidak melebihi 7% daripada pendapatan aggregat seseorang itu.
Walaubagaimanapun, sebanagi umat Islam kita janganlah membayar zakat atau menderma dengan tujuan untuk mengurangkan cukai pendapatan kita. Lakukanlah dengan niat untuk mendapat keredhaan Allah. Insyaallah kita akan mendapat ganjaran di dunia dan di akhirat. Sebahagian ganjaran di dunia pihak kerajaan telah memberi kelebihan kepada yang membayar zakat dan menderma. Ganjaran yang lain hanyalah Allah yang maha mengetahui.
Akhir kata, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat melakukan ibadah Puasa bagi umat Islam dan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan yang ke 52.
Satu Malaysia. Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan.
Bersama Membangun Negara
Merdeka! Merdeka! Merdeka!
20 November 2008
Zakat vs Cukai Pendapatan
Zakat merupakan salah satu rukun Islam dan wajib dikerjakan oleh orang Islam bagi yang cukup haulnya. Cukai Pendapatan pula adalah diwajibkan oleh kerajaan untuk orang yang layak dikenakan cukai. Kedua duanya dibayar kepada kerajaan. Zakat digunakan untuk membangunkan ekonomi Islam dan membantu orang fakir miskin untuk hidup sepertimana orang yang biasa. Cukai pendapatan pula digunakan untuk pembangunan negara seperti pembinaan infrastruktur dan lain-lain.
Ada orang berkata buat apa bayar cukai. Cukai tiada di dalam hukum Islam. Malah ada yang kata haram bayar Cukai Pendapatan. Sebenarnya kalau kita baca sejarah zaman Rasulullah kita tentu akan terjumpa istilah Jizyah iaitu suatu bayaran yang diwajibkan ke atas orang bukan Islam yang tinggal di dalam kerajaan Islam di Madinah. Bagi orang Islam tidak perlu membayar Jizyah tetapi perlu membayar Zakat.
Dalam konteks Malaysia, kerajaan telah cuba mengintegrasikan zakat dan cukai pendapatan dengan pemberian rebat ke atas zakat yang telah dibayar oleh umat islam. Tiada had. Seberapa banyak pun zakat yang dibayar akan ditolak dari cukai yang sepatutnya kena bayar. Dengan syarat zakat dibayar di dalam tahun taksiran yang berkenaan dan resit adalah dari Jabatan Agama Islam Negeri Negeri di Malaysia.
Contoh
Ali sepatutnya membayar cukai pendapatan sebanyak RM450.00. Ali telah membayar zakat pendapatan RM400.00, zakat simpanan RM50.00 dan zakat fitrah RM20.50. Jumlah zakat dibayar RM 470.50. Jadi Cukai Ali ditolak dengan Rebat Zakat (terhad kepada amaun cukai) Ali tidak perlu membayar lagi cukai pendapatan.
Tidak cukup dengan itu bagi sesiapa yang telah membuat potongan zakat melalui potongan gaji setiap bulan sekiranya amaun potongan itu sama atau berlebihan berbanding dengan amaun potongan cukai berjadual yang sepatutnya dibuat potongan maka dia dikecualikan dari membuat potongan cukai berjadual sama sekali. Sekiranya amaun potongan zakat yang dibuat kurang dari potongan cukai berjadual yang sepatutnya dipotong maka jumlah potongan cukai berjadual yang perlu dibuat potongan hanyala beza antara amaun potongan zakat dan amaun potongan cukai berjadual yang sepatutnya dibuat potongan. Mungkin nampak macam berbelit-belit tetapi akan mudah jika dilihat melalui contoh berikut.
Contoh 1
Ahmad membayar zakat pendapatan melalui potongan gaji dengan Pusat Zakat Selangor. Potongan zakat dibuat sebanyak RM 50.00. Mengikut jadual Potongan Cukai Berjadual(PCB) di dalam Kaedah-kaedah Cukai Pendapatan Ahmad layak kena potongan PCB sebanyak RM50.00. Jadi oleh kerana Ahmad telah membuat potongan zakat, Majikan tidak perlu membuat potongan PCB lagi.
Contoh 2
Abu membuat potongan zakat RM 40 sebulan. Abu layak kena potongan PCB sebanyak RM55 sebulan. Jadi Majikan cuma perlu buat potongan PCB atas beza potongan zakat dengan amaun PCB sepatutnya dipotong sahaja iaitu RM 55 - RM 40 = RM 15 sahaja. Tambahan RM 15 sahaja yang perlu dibuat potongan cukai oleh Majikan.
Begitulah komitednya kerajaan di dalam menggalakkan orang Islam melaksanakan rukun Islam ke 4 ini. Namun berapa ramai orang yang mengaku beragama Islam melaksanakan rukun Islam ini. Sama-samalah kita fikirkan.

