16 Mac 2013

LHDN jejak 'kebocoran' bayar cukai - Petikan Utusan Malaysia 02/03/2013



Ahmad Husni Hanadzlah dan Mohd. Shukor Mahfar (kanan) bersama warga LHDN memegang logo Hasil4U pada majlis sambutan Hari Hasil dan Pelancaran Hasil4U di Cyberjaya, semalam

CYBERJAYA 1 Mac - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan menyusun strategi dalaman serta mengenal pasti industri yang berlaku 'kebocoran' pembayaran cukai bagi mencapai sasaran kutipan RM130 bilion pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Dr. Mohd. Shukor Mahfar berkata, berikutan daripada itu, LHDN akan mengkaji pengalaman kutipan cukai negara lain bagi mengenal pasti industri yang kritikal.

''Pada zaman globalisasi ini, jika sesuatu keadaan berlaku di United Kingdom, Amerika Syarikat atau Jepun, keadaan sama juga akan berlaku di Malaysia."



''Jadi LHDN mahu bandingkan keadaan Malaysia dengan negara lain. Kita hendak tengok industri mana yang kritikal dan beri impak yang besar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Hasil dan Pelancaran Hasil4U di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Timbalannya, Datuk Donald Lim Siang Chai.

Hasil4U merupakan penjenamaan semula terhadap Bulan Perkhidmatan Pembayar Cukai (BPPC) di mana kaunter-kaunter perkhidmatan LHDN akan dibuka bagi menjawap pertanyaan selain membantu orang ramai mengisi borang.

LHDN pada tahun ini turut memperkenalkan tema Hasil Teman Keceriaan Anda untuk menggalakkan orang ramai membayar cukai.

Dalam pada itu, Mohd. Shukor berkata, LHDN tidak akan membiarkan segelintir pihak menjadi 'penumpang percuma' dengan tidak membayar cukai tetapi memanfaatkan hasil yang dibayar oleh orang lain.

''Apabila pembayar cukai yang jujur melihat tindakan tegas tidak diambil ke atas pelari cukai, ia juga menjejaskan tahap pematuhan mereka sekali gus menyebabkan penurunan kutipan cukai negara," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Shukor berkata, beliau percaya pelaksanaan gaji minimum tidak akan memberi kesan yang signifikan kepada kutipan cukai negara.

''Walaupun peniaga perlu menanggung pembayaran gaji yang lebih tinggi, tetapi peningkatan gaji itu juga menggalakkan produktiviti pekerja.

''Selain itu, tambahan gaji dalam kalangan pekerja termasuk pekerja asing akan menggalakkan mereka berbelanja sekali gus menyumbang kepada aktiviti ekonomi," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan