Salam sejahtera
Bertemu lagi di dalam posting kali ini. Hari ini saya ingin mengupas berkenaan kaedah pengiraan PCB berkomputer.Pengiraan cukai berkomputer bukan hanya kepada majikan yang terdiri daripada syarikat sendirian berhad dan berhad yang mempunyai organisasi besar sahaja. Tetapi boleh juga digunakan oleh majikan yang hanya mempunyai seorang atau dua pekerja dan juga enterprise dan perkongsian.
Secara umumnya, terdapat dua cara mengira PCB menggunakan pengiraan berkomputer.
a. Sistem Gaji Berkomputer yang disahkan LHDNM - dibina oleh pihak ketiga yang memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh LHDNM. Mendapat pengesahan mengenai ketepatan pengiraan oleh LHDNM. Senarai sistem yang telah disahkan ada di dalam laman web Hasil.
b. Sistem online yang dibina oleh LHDNM untuk kegunaan majikan secara percuma. Terdapat 3 pilihan iaitu
1. Kalkulator PCB - Majikan boleh mengira PCB bagi pekerja dengan mengisi ruangan-ruangan berkenaan dan apabila tekan butang Kira, amaun PCB yang sepatutnya dipotong dipaparkan. Boleh dicetak pengiraan yang telah dibuat. Namun kelemahannya adalah tidak boleh disimpan apa pengiraan yang dibuat. Sekiranya perlu mengira PCB lagi semua data peru diisi semula.
2. e-PCB - Majikan boleh memohon ID dengan mendaftar di laman web e-PCB. Setelah ID diaktifkan majikan boleh menguncimasuk maklumat pekerja dan pendapatan yang diterima. PCB akan dikira secara automatik. Maklumat pekerja dan pendapatan akan disimpan jadi untuk bulan berikutnya sekiranya pendapatan tidak berubah tiada perubahan perlu dilakukan dan terus boleh buat bayaran PCB samada secara online atau di kaunter Khas di Pusat Bayaran Hasil.
Sistem e-PCB biasanya sesuai untuk majikan yang tiada sistem gaji berkomputer dan jumlah pekerja yang sedikit sehingga sederhana ramai. Ini kerana maklumat pekerja dan gaji perlu dikunci masuk setiap seorang ke dalam sistem e-PCB.
3.e-Data PCB - Sistem ini sebenarnya bukanlah untuk pengiraan PCB. Tetapi lebih kepada penghantaran Borang CP39 (Borang maklumat pekerja yang dibuat potongan PCB) dan juga pembayaran secara online dan juga di kaunter Khas Pusat Bayaran Hasil.
Sistem e-Data PCB dibangunkan sebagai pelengkap kepada majikan yang mempunyai sistem gaji berkomputer. Di dalam keadaan biasa majikan akan export data CP39 di dalam bentuk text file ke dalam disket dan membuat bayaran di kaunter bank yang menyediakan khidmat pembayaran PCB. Perkara ini agak menyusahkan majikan kerana pada zaman ini susah untuk menjumpai komputer dengan disket drive dan bank hanya menerima disket sahaja.
Jadi penyelesaiannya adalah e-Data PCB. Majikan perlu daftar untuk mendapatkan ID. Apabila sudah diaktifkan majikan boleh upload text file yang biasanya dimasukkan ke dalam disket terus ke LHDNM secara online. Pembayaran juga boleh terus dilakukan seperti e-PCB. Pembukuan PCB ke lejar majikan dan pekerja juga akan menjadi cepat.
Kesimpulannya pengiraan PCB kini adalah hanya dihujung jari sahaja. Syarat PCB 2015 yang mewajibkan majikan membuat pelarasan sekurang-kurangnya 2 kali setahun tidak boleh lagi diabaikan oleh majikan.
Sekian dahulu. Sehingga berjumpa di lain posting.
Adguard. An adblock app.
5 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan