Beberapa hari lagi sekiranya dipanjangkan umur kita akan bertemu lagi dengan bulan Ramadhan yang sentiasa dinanti nanti oleh umat Islam. Bulan yang sinonim dengan ibadah puasa. Jadi apa kaitannya bulan Ramadhan yang mulia ini dan ibadah puasa dengan percukaian? Teruskan membaca....
Ramadhan tahun ini boleh dikirakan istimewa sedikit berbanding dengan Ramadhan yang lepas lepas. Ramadhan tahun ini akan berlaku beberapa peristiwa yang akan dan sentiasa diingati oleh Rakyat Malaysia khususnya.
Pertama, yang paling hampir pilihanraya kecil DUN Pematang Pasir. Seingat saya dalam seumur hidup saya ini pertama kali ada pilihanraya di dalam bulan Ramadhan. Selalunya pilihanraya umum atau kecil akan dilakukan di bulan-bulan lain selain bulan Ramadhan. Jadi pastinya semangat dia akan jadi lain. Mungkin boleh jadi seperti semangat sahabat-sahabat Rasulullah ketika berlakunya Perang Badar yang juga berlaku dibulan Ramadhan.
Kedua, kemudian adalah perayaan paling penting untuk rakyat Malaysia iaitu ulang tahun Kemerdekaan Tanah Melayu ke 52 tahun ataupun Hari Kebangsaan kita. Jarang sekali kita menyembutnya di dalam bulan Ramadhan. Mungkin sebab itulah untuk tahun ini Sambutan Hari Kebangsaan diadakan di Stadium Bukit Jalil. Tidak di Dataran Merdeka seperti biasa.
Mungkin anda rasakan posting kali ini tidak ada kena mengena dengan Cukai pendapatan. Sebenarnya ada kaitannya samada kita sedar atau tidak.
Pertama, bulan Ramadhan disamping umat Islam diwajibkan berpuasa ada satu lagi ibadah yang juga diwajibkan hanya di dalam bulan Ramadhan iaitu Zakat Fitrah. Zakat Fitrah ini diwajibkan keatas semua umat Islam yang hidup pada pagi 1 Syawal atau hari Raya Aidilfitri. Bayaran Zakat Fitrah ini juga telah diputuskan oleh Kerajaan dibenarkan sebagai tolakan kepada jumlah cukai yang kena dibayar oleh pembayar cukai. Walaupun nampak seperti jumlah yang sedikit, tetapi untuk yang mempunyai ahli keluarga dibawah tanggungannya yang ramai jumlahnya agak besar juga. Di negeri Selangor tahun ini Zakat Fitrah yang kena dibayar adalah sebanyak RM 7 seorang. Jadi jika ada tanggungan sebanyak 5 orang termasuk diri sendiri, jumlah zakat dibayar adalah RM 35. Untuk yang berpendapatan kecil hingga sederhana yang boleh kena cukai, dengan offset jumlah zakat yang dibayar ini ada kemungkinan tiada cukai perlu dibayar lagi.
Kedua, di dalam bulan Ramadhan ini juga Umat Islam dituntut memberikan derma dan sumbangan kepada badan badan kebajikan kerana amat besar pahalanya. Derma kepada badan kebajikan atau institusi yang diluluskan LHDN juga boleh ditolak daripada pendapatan kasar seseorang.Dengan syarat tidak melebihi 7% daripada pendapatan aggregat seseorang itu.
Walaubagaimanapun, sebanagi umat Islam kita janganlah membayar zakat atau menderma dengan tujuan untuk mengurangkan cukai pendapatan kita. Lakukanlah dengan niat untuk mendapat keredhaan Allah. Insyaallah kita akan mendapat ganjaran di dunia dan di akhirat. Sebahagian ganjaran di dunia pihak kerajaan telah memberi kelebihan kepada yang membayar zakat dan menderma. Ganjaran yang lain hanyalah Allah yang maha mengetahui.
Akhir kata, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat melakukan ibadah Puasa bagi umat Islam dan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan yang ke 52.
Satu Malaysia. Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan.
Bersama Membangun Negara
Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Adguard. An adblock app.
5 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan