Memaparkan catatan dengan label Cukai Pendapatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Cukai Pendapatan. Papar semua catatan

07 April 2012

Musim Cukai tiba lagi

Bulan penghantaran Borang BE tiba lagi Hari ini 7 April 2012. Maka tingal 23 hari lagi sebelum 30 April melabuhkan tirainya. Tahun ini dimeriahkan lagi dengan M-filing. Satu lagi cara mudah untuk menghantar Borang BE secara elektronik. Hanya dengan menggunakan gajet/smartphone seperti IPAD, TAB dan lain-lain smartphone yang menggunakan operating system yang disokong. Penghantaran e-BE bukan hanya di komputer tetapi di Galaksi Tab atau Blackberry dan lain lain.Boleh dibuat di mana sahaja asalkan ada capaian internet.

 Sebelum ini kita selalu mendengar alasan dari pembayar cukai yang lewat menghantar borang nyata cukai pendapatan yang mengatakan mereka berada di luar negara semasa tempoh penyerahan borang berlaku. Kini alasan seperti ini sudah tidak lagi boleh dipakai kerana kita sudah boleh menghantar borang nyata cukai pendapatan tidak kiralah borang BE ke, B , M, P atau C di mana-mana pelusuk dunia bahkan jika di angkasa lepas juga asalkan mempunyai capaian internet. Apa lagi alasan yang diberikan? e-filing dan m-filing telah menidakkan sama sekali alasan ini. Kini kita akan dengar pula seribu satu alasan kenapa tidak mahu menggunakan e-filing atau m-filing. Ada yang katakan e-filing sukar, tidak mesra pengguna, tidak tahu menggunakan komputer dan lain-lain. e-filing telah direkacipta dengan menjadikannya semudah yang boleh. tiada lagi kalkulator diperlukan, tiada lagi kesilapan pengiraan. rujukan silang dengan nota penerangan borang yang terbina dalam. Dengan kehadiran adiknya iaitu m-filing yang lebih dipermudah dan ringan sehinggakan boleh dibuka di telefon bimbit pintar direka khas untuk individu yang sentiasa bergerak dan tiada masa untuk duduk dalam masa yang lama.

 Kecualilah individu yang memang mempunyai alasan perubatan seperti telah koma selama 4 bulan dari Januari ke April.Bila sedar dari koma je dah bulan Mei. Ataupun hilang ingatan dalam tempoh tersebut dan lupa siapa dirinya. Selain dari ini memang tiada alasan lagi apatah lagi jika alasan yang diberikan tidak tahu tarikh akhir penghantaran borang nyata cukai pendapatan,tidak tahu apa yang perlu dibuat. Pada masa ini maklumat hanya dihujung jari. Sekiranya tiada capaian internet sekalipun di akhbar, televisyen dan radio sentiasa memwar-warkan tentang musim penghantaran borang nyata cukai pendapatan. Kaunter-kaunter bergerak LHDN dan taklimat-taklimat oleh petugas LHDN juga sedang bergerak aktif pada masa ini. Setiap hari mereka menerima jemputan dari badan korporat yang memerlukan penerangan tentang hal-hal percukaian.

Akhir kata pelajarilah ilmu percukaian ini kerana ianya adalah ilmu yang akan digunakan seumur hidup. Walaupun tidak untuk mengajar orang lain tetapi untuk kegunaan sendiri. Selagi kita hidup ilmu percukaian akan terus digunakan. Jadilah Wira Negara yang sebenar kerana sememangnya 'Andalah Wira Negara'

Read More...

25 Februari 2011

e-Filing -Tahun Taksiran 2010 - https://e.hasil.gov.my/

1 Mac 2011, genap usia 15 tahun LHDN dilembagakan dari JHDN. Imej korporat baru akan diperkenalkan pada sambutan ulang tahun ke 15 tersebut. Pada hari yang sama akan dilancarkan e-filing untuk Tahun Taksiran 2010. e-filing akan dibuka kepada umum dan orang ramai boleh mula menghantar borang cukai pendapatan melalui e-filing. Kepada yang memang telah menggunakannya sejak tahun-tahun lepas harapnya teruskan tradisi anda. Bagi yang belum lagi menggunakan mulakan tradisi baru dengan menggunakan e-filing.


Untuk yang akan pertama kali menggunakan e-filing anda akan memerlukan nombor pin yang boleh di dapati di Borang Cukai yang dihantar ke rumah anda. Ataupun alternatifnya anda boleh emel sendiri kepada alamat pin@hasil.gov.my untuk mendapatkan no pin anda dengan menyertakan salinan kad pengenalan depan belakang. Anda juga perlu menyatakan no rujukan cukai, alamat terkini dan nombor telefon.

Bagi yang telah terlupa kata laluan juga boleh emel kepada alamat seperti di atas untuk reset semula kata laluan. Alternatifnya hubungi cawangan LHDN terdekat.

Tahun ini merupakan tahun ke 5 e-filing diperkenalkan untuk memudahkan proses penghantaran Borang Cukai.Jadi digalakkan pembayar cukai akan menggunakan e-filing di premis atau di rumah masing-masing dan tidak membanjiri cawangan LHDN. Sekiranya menghadapi masalah talian khidmat pelanggan sedia membantu anda 1-300-88-3010.

Sekian dulu untuk kali ini. Jumpa lagi ya.

Read More...

01 Januari 2010

Selamat Tahun Baru 2010

Hari ini 1 Januari 2010. Dah bermula tahun yang baru dan mesti ramai yang dah ada azam baru. Apa yang kita nak capai tahun ni? Apa matlamat kita tahun ni? Nak jadi kaya ke? Nak naik pangkat ke? Nak tambah anak ke? Tapi mesti ada yang matlamatnya nak kurangkan atau taknak bayar cukai langsung tahun ni kan?

Jadi kalau matlamat anda nak jadi kaya dan bila dah kaya mesti banyak kena cukai kan. Begitu juga kalau matlamat nak naik pangkat dan bila dah dapat naik pangkat pun mesti kena bayar cukai lebih. Oleh yang demikian mesti matlamat sampingannya nak kurangkan cukai atau taknak bayar langsung. Bukan kita nak lari dari cukai. Kesalahan tu lari dari cukai. Tapi macam mana kita nak atur strategi nak kurangkan atau taknak bayar langsung cukai pendapatan ni.


Strategi ni mestila bermula dari hari ini hingga 31 Disember 2010. Bukannya baru nak buat strategi masa nak isi Borang Nyata Cukai Pendapatan 2010 pada 30 April 2011 nanti. Masa tu kalau baru nak atur strategi dah terlambat lah. Biasanya strategi yang diguna masa isi borang tu adalah tuntut semua pelepasan yang ada. Selagi kena cukai selagi tu la di adjust pelepasan yang ada nak kasi tak kena cukai tanpa ada resit-resit dan pengesahan yang asal.

Akibatnya bila LHDNM buat auditan, bila diminta resit-resit asal tu semua takde. jadi semua pelepasan yang dituntut tu terpaksalah ditarik balik. Maka keluarlah Notis JA iaitu Notis Pemberitahuan Cukai Tambahan kena dibayar. Kan ke rugi disitu.
Kena bayar dalam tempoh 30 hari pulak tu kalau tidak kena kenaikan dibawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan. Jadi anda janganlah mengikut strategi yang merugikan ini.

Sebenarnya banyak strategi yang boleh dilakukan untuk mengurangkan atau tak perlu bayar cukai langsung. Antaranya adalah mulai tahun ini diberi pelepasan RM 500 untuk yuran langganan Broadband. Jadi kalau belum ada broadband langganlah. Lepas tu simpan la bil-bil broadband tu baik-baik. Lepas tu kalau beragama islam buatlah potongan zakat pendapatan. Tak terasalah nanti nak bayar zakat sekaligus masa hujung tahun nanti. Seterusnya kalau belum ada insuran ambil la insuran nyawa dan kesihatan. Boleh dapat pelepasan tu. Dan kalau ada azam nak tambah anak tahun ni. sempat lagi kalau mula mengandung awal tahun ni. Dapat lagi tambahan pelepasan RM 1000.

Banyak lagi strategi tapi tak sempat nak bincang kat sini.

Semoga berjumpa di lain posting.

Selamat Tahun Baru 2010.

Dekad baru Azam Baru

Bersama Membangun Negara.


Read More...

19 September 2009

Selamat Hari Raya AidilFitri 1430H

Hari ini 29 Ramadhan 1430H bersamaan 19 September 2009. Bermakna dah 28 hari kita dah berpuasa di bulan Ramadhan dan hari ini hari ke 29. Petang ini anak bulan akan diteropong dan kalau kelihatan ataupun dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja maka esok kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Sekiranya sebaliknya maka lusa lah kita akan beraya.Diakhir-akhir Ramadhan ini marilah kita menghisab diri adakah Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan yang lepas-lepas atau telah berlaku sebaliknya. Yang penting sekali, bagi yang nak buat 'tax planning' dah buat ke seperti yang saya cadangkan di posting ketika awal Ramadhan tempoh hari?

Kalau sudah maka akan kuranglah pendapatan kerajaan tahun ini dari anda.Hehe. Disamping mendapat pahala yang besar dengan membayar zakat samada zakat Fitrah atau zakat yang lain lain dibulan Ramadhan ni dapat pula rebat dari kerajaan untuk cukai pendapatan. Lagi banyak bayar zakat lagi banyak la rebat yang kita dapat. Lagi banyak rebat lagi kurang atau tak payah langsung bayar cukai pendapatan. Bagi yang ada Potongan Cukai Berjadual atau Skim Ansuran Seksyen 107B maka akan dapat bayaran baliklah tahun hadapan. Macam dapat Bonus la kiranya. Walaupun sebenarnya duit kita sendiri jugak.

Sempena nak sambut hari Raya Aidilfitri 1430H esok atau lusa ni saya nak mengambil kesempatan ni buat ucapan sikit.

Saya sekeluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1430H kepada semua blogger, pembaca setia blog ini, para pengunjung, rakan-rakan facebook , rakan -rakan sekerja di HASIL dan semua rakyat Malaysia khasnye dan seluruh umat Islam amnya.

Saya juga ingin memohon ampun dan maaf sekiranya ada salah dan silap terkasar bahasa termakan terminum minta dihalalkan. Lepas hari raya ni kita buka buku baru ye. Maaf Zahir dan Batin.

Sekian.


Read More...

20 Ogos 2009

Selamat Datang Ramadhan & Selamat Hari Merdeka ke 52 tahun

Beberapa hari lagi sekiranya dipanjangkan umur kita akan bertemu lagi dengan bulan Ramadhan yang sentiasa dinanti nanti oleh umat Islam. Bulan yang sinonim dengan ibadah puasa. Jadi apa kaitannya bulan Ramadhan yang mulia ini dan ibadah puasa dengan percukaian? Teruskan membaca....

Ramadhan tahun ini boleh dikirakan istimewa sedikit berbanding dengan Ramadhan yang lepas lepas. Ramadhan tahun ini akan berlaku beberapa peristiwa yang akan dan sentiasa diingati oleh Rakyat Malaysia khususnya.

Pertama, yang paling hampir pilihanraya kecil DUN Pematang Pasir. Seingat saya dalam seumur hidup saya ini pertama kali ada pilihanraya di dalam bulan Ramadhan. Selalunya pilihanraya umum atau kecil akan dilakukan di bulan-bulan lain selain bulan Ramadhan. Jadi pastinya semangat dia akan jadi lain. Mungkin boleh jadi seperti semangat sahabat-sahabat Rasulullah ketika berlakunya Perang Badar yang juga berlaku dibulan Ramadhan.

Kedua, kemudian adalah perayaan paling penting untuk rakyat Malaysia iaitu ulang tahun Kemerdekaan Tanah Melayu ke 52 tahun ataupun Hari Kebangsaan kita. Jarang sekali kita menyembutnya di dalam bulan Ramadhan. Mungkin sebab itulah untuk tahun ini Sambutan Hari Kebangsaan diadakan di Stadium Bukit Jalil. Tidak di Dataran Merdeka seperti biasa.

Mungkin anda rasakan posting kali ini tidak ada kena mengena dengan Cukai pendapatan. Sebenarnya ada kaitannya samada kita sedar atau tidak.

Pertama, bulan Ramadhan disamping umat Islam diwajibkan berpuasa ada satu lagi ibadah yang juga diwajibkan hanya di dalam bulan Ramadhan iaitu Zakat Fitrah. Zakat Fitrah ini diwajibkan keatas semua umat Islam yang hidup pada pagi 1 Syawal atau hari Raya Aidilfitri. Bayaran Zakat Fitrah ini juga telah diputuskan oleh Kerajaan dibenarkan sebagai tolakan kepada jumlah cukai yang kena dibayar oleh pembayar cukai. Walaupun nampak seperti jumlah yang sedikit, tetapi untuk yang mempunyai ahli keluarga dibawah tanggungannya yang ramai jumlahnya agak besar juga. Di negeri Selangor tahun ini Zakat Fitrah yang kena dibayar adalah sebanyak RM 7 seorang. Jadi jika ada tanggungan sebanyak 5 orang termasuk diri sendiri, jumlah zakat dibayar adalah RM 35. Untuk yang berpendapatan kecil hingga sederhana yang boleh kena cukai, dengan offset jumlah zakat yang dibayar ini ada kemungkinan tiada cukai perlu dibayar lagi.

Kedua, di dalam bulan Ramadhan ini juga Umat Islam dituntut memberikan derma dan sumbangan kepada badan badan kebajikan kerana amat besar pahalanya. Derma kepada badan kebajikan atau institusi yang diluluskan LHDN juga boleh ditolak daripada pendapatan kasar seseorang.Dengan syarat tidak melebihi 7% daripada pendapatan aggregat seseorang itu.

Walaubagaimanapun, sebanagi umat Islam kita janganlah membayar zakat atau menderma dengan tujuan untuk mengurangkan cukai pendapatan kita. Lakukanlah dengan niat untuk mendapat keredhaan Allah. Insyaallah kita akan mendapat ganjaran di dunia dan di akhirat. Sebahagian ganjaran di dunia pihak kerajaan telah memberi kelebihan kepada yang membayar zakat dan menderma. Ganjaran yang lain hanyalah Allah yang maha mengetahui.

Akhir kata, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat melakukan ibadah Puasa bagi umat Islam dan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan yang ke 52.

Satu Malaysia. Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan.

Bersama Membangun Negara

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Read More...

24 Julai 2009

Ogos Bulan Kemerdekaan Negara

Tinggal beberapa hari lagi sebelum bulan Ogos menjelang tiba. Setiap kali tibanya bulan Ogos, masing masing yang bergelar rakyat Malaysia berkobar-kobar semangat patriotiknya. Sepertimana berkibarnya bendera-bendera Malaysia yang dipasang di bangunan-bangunan, kenderaan dan ada juga yang memakai bendera di badan.Tetapi apa kaitan semua ini dengan Cukai Pendapatan?


Sebenarnya semangat patriotik kepada negara Malaysia yang dicintai ini bukan hanya pada kibaran bendera setiap kali Ogos tiba ataupun ketika menonton filem Bukit Kepung atau Leftenan Adnan. Menunaikan tanggungjawab sebagai pembayar cukai pendapatan juga merupakan tindakan yang patriotik. Kenapa? Ini kerana negara dapat meneruskan pembangunan dengan wang yang dikumpulkan dari semua pembayar cukai di negara kita ini. Kita sebagai pembayar cukai sememangnya patut berbangga negara dapat membangun dan maju dengan wang hasil titik peluh kita tidak kiralah berapa banyak sumbangan kita samada kecil atau besar. Walau seringgit kita tetap ada bahagian di dalam membangun negara.

Ingat tak iklan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia yang pernah diudarakan di TV tidak lama dahulu? Anak bertuah yang dilahirkan di negara Malaysia yang pesat membangun dan aman damai ini walaupun hidup berbilang kaum. Dengan wang cukai Hospital dapat didirikan, Sekolah dapat dibangunkan, Jalan dapat diturapkan dan banyak lagi yang boleh digunakan wang cukai yang dipungut oleh LHDNM dari rakyat Malaysia.

Jadi kesimpulannya, selaras dengan konsep 1Malaysia, marilah kita sama-sama membangun negara dengan menjadi pembayar cukai yang bertanggungjawab dan seterunya rakyat Malaysia yang cemerlang gemilang dan terbilang.

Akhir kata,

Berkhidmat Untuk Negara
Bersama Membangun Negara

Cukai dihujung Jari anda, Jom e

Read More...

04 Julai 2009

Operasi Post BPPC

Selepas tamatnya BPPC selama 2 bulan pada 30 Jun 2009 lalu kini operasi pejabat kembali seperti biasa. Tugasan pejabat kini tertumpu kepada proses audit Borang Nyata yang telah dihantar dan juga proses bayaran balik cukai yang terlebih bayar.


Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merehatkan diri dari operasi pejabat. Kebetulan juga pertengahan bulan ini ada peperiksaan jabatan yang perlu dibuat persediaan. Jadi setengah bulan pertama Julai ini saya akan tiada dipejabat untuk membuat persediaan peperiksaan ini. Untuk Setengah bulan kedua pula ada kursus yang perlu dihadiri sehingga hujung bulan.

Jadi bulan Julai ini tiadalah saya dipejabat sepanjang bulan.

Sekian. sehingga berjumpa di post seterusnya.

Read More...

30 Jun 2009

30Jun 2009 - Hari terakhir Bulan Perkhidmatan Pembayar Cukai

Hari ini 30 Jun 2009. Hari terakhir penghantaran Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi Punca Pendapatan Perniagaan. Juga kemuncak Bulan Pekhidmatan Pembayar Cukai (BPPC). Hari ini juga dijangka pembayar cukai akan berduyun-duyun ke kaunter perkhidmatan untuk bertanyakan hal cukai pendapatan dan mengisi borang B (Bagi Punca Perniagaan).

Walaubagaimanapun, kemuncak Borang B ini tidaklah semeriah kemuncakBorang BE pada 30April tempoh hari. Ini kerana kebanyakan warga perniagaan menggunakan khidmat ejen cukai bertauliah untukmenguruskan Borang B mereka. Jadi kaunter efiling kurang sikitlah sesaknya.

Sempena hari terakhir ini, bagi yang ingin membuat bayaran menggunakan cek boleh menyerahkan cek kekaunter khas yang disediakan. Tidak perlu ke bank atau kaunter bayaran Jln Duta. Walaubagaimanapun resit akan diposkan ke alamat surat menyurat.

Akhir kata untuk yang bakal menghantar borang selamat menghantar borang. yang belum membuat bayaran buatlah bayaran sebelum petang hari ini untuk mengelakkan denda 10% keesokan hari.

Sekian dulu untuk pagi ini.

Membangun Bersama Negara
Cukai dihujung jari anda.Jom e

www.belajarcukai.blogspot.com

Read More...

02 Mei 2009

400,000 more using e-Filing - Petikan The Star 2 Mei 2009

PETALING JAYA: Nearly 1.3 million taxpayers used the e-Filing system this year, an increase of 400,000 compared to last year.
“The Inland Revenue Board of Malaysia took measures to accommodate the increase of e-Filing users by upgrading the Internet lines to 69Mbps from 61Mbps previously,” it said in a statement yesterday.
The lines’ capacity was pushed to the maximum on April 28 due to the “keep it to the last-minute” attitude of taxpayers, it added.

Read More...

Pengguna e-filing naik 30 peratus - Petikan Berita Harian 2 Mei 2009

KUALA LUMPUR: Pembayar cukai taksiran pendapatan yang menggunakan sistem e-filing meningkat sehingga 30 peratus berbanding tahun lalu menjadikan jumlahnya kini melebihi satu juta pengguna. Pegawai Perhubungan Awam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Najlah Ishak, berkata jumlah itu meningkat berikutan LHDN menambah kelajuan sistem daripada 61 Megabit persaat (Mbps) kepada 69Mbps. "Jumlah pengguna e-filing yang meningkat sehingga 30 peratus kepada 1,257,539 orang pada tahun ini kerana LHDN bertindak menambah kelajuan sistem itu daripada 61Mbps kepada 69Mbps," katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.
Namun, jumlah berkenaan tidak termasuk jumlah pembayar cukai yang menghantar borang melalui cara biasa. Najlah berkata, jumlah pengguna e-filing yang membolehkan pembayar cukai mengisi borang melalui internet sama ada di rumah atau pejabat meningkat pada setiap tahun.

Read More...

1.2 juta bayar cukai guna e-Filing - Petikan Utusan Malaysia 2 Mei 2009

KUALA LUMPUR 1 Mei - Sebanyak 1,257,539 rakyat Malaysia menggunakan sistem e-Filing Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi tujuan taksiran dan pembayaran cukai pendapatan masing-masing sehingga tengah malam tadi.

Pegawai Perhubungan Awam LHDN, Najlah Ishak berkata, jumlah tersebut semakin meningkat dari tahun ke tahun sejak sistem e-Filing itu mula diperkenalkan pada 2006.

"Pengguna e-Filing sehingga 30 April bagi tahun-tahun 2006, 2007, 2008 dan 2009 didapati meningkat setiap tahun itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, jumlah tersebut belum mengambil kira mereka yang menghantar borang taksiran cukai pendapatan secara manual.

Katanya, jumlah pengguna e-Filing sehingga semalam meningkat kira-kira 30 peratus berbanding 2008 iaitu sebanyak 881,387 orang.

Sementara itu, katanya, jumlah pengguna yang menggunakan sistem tersebut pada 2007 adalah sebanyak 538,558 manakala pada 2006 pula hanya 78,718.

"Bagi menampung pertambahan pengguna e-Filing, LHDN mengambil langkah menambah talian Internet daripada kelajuan 61 megabit sesaat (Mbps) kepada 69Mbps tahun ini," katanya.

Menurutnya, penggunaan talian 69Mbps mencapai tahap 100 peratus mulai 28 April lalu kerana sikap pembayar cukai yang menunggu sehingga ke saat akhir untuk melaksanakan tanggungjawab mereka menggunakan sistem online itu.

Read More...

25 April 2009

25 April 2009 - Tinggal 5 Hari lagi. Coundown to 30 April 2009

Hari ini tinggal 5 hari lagi sebelum 12 tgh malam 30 April 2009. Di kaunter BPPC semakin ramai yang hadir ke Pejabat LHDN diseluruh Malaysia. Jumlah petugas ditambah untuk melayan pembayar cukai yang datang mendapatkan perkhidmatan.

Untuk hari ini dan esok kaunter dibuka dari jam 8.00 pagi hingga 6 petang. dan minggu hadapan kaunter dibuka sehingga jam 10 malam. Seperti biasa hari terakhir iaitu 30 April dijangka kaunter tidak akan lengang sehingga jam 12 tgh malam. Sepertimana tahun tahun sudah.

Jadi ambillah kesempatan ini untuk datang dan bertanya segala kemusykilan dan seterusnya mengisi Borang BE samada secara Manual atau E-filing.

Juga jangan dilupa sekiranya ada cukai atau baki cukai yang perlu dibayar bayaran perlu dibuat pada atau sebelum 30 April 2009 juga. Tidak perlu tunggu apa-apa Notis taksiran dari LHDN kerana di dalam Sistem Taksir Sendiri, Pembayar cukai yang mengira cukai mereka sendiri dan Borang BE tersebut disifatkan sebagai Notis Taksiran. Tiada lagi Notis Taksiran dihantar kecuali untuk Taksiran Tambahan dan Taksiran Kurangan dan juga Taksiran untuk Borang yang lewat diterima.

Bayaran Boleh dibuat di CIMB Bank,Public Bank, Maybank, dan Kaunter Bayaran diJalan Duta. Sekiranya ada Internet Banking boleh juga membuat bayaran di laman web Bank yang sama di atas. Selain itu LHDN juga ada perkhidmatan e-payment melalui FPX dilaman web e-filing.

Rasanya itu sahaja maklumat pagi ini.

Cukai dihujung jari anda. Jom e.

Read More...

06 April 2009

Pesta 30 April

Sedutan berita di atas berlaku 30 April tahun lepas di Pejabat saya di Kelana Jaya. Suasana seakan-akan Pesta JomHeboh. Wartawan dan orang ramai memenuhi segala ruang kaunter dan tempat menunggu serta bilik e-filing. Suasana terus segar dari pagi hinggalake jam 12 tgh mlm. iaitu detik2 terakhir sebelum tamat tempoh penghantaran borang BE

Read More...

05 Mac 2009

Borang EA / EC


Salam sejahtera. Kali ini topik yang diceriterakan adalah Borang CP 8A -Pindaan 2008 atau lebih dikenali sebagai Borang EA bagi kakitangan Swasta dan juga Borang EC bagi Agensi Kerajaan. bagi yang telah lama bekerja pastinya Borang EA/EC sudah tidak asing lagi buat mereka. Walaubagaimanapun pada tahun ini diperkenalkan Borang EA Pindaan 2008 selaras dengan Bajet 2009 yang dibentangkan di Parlimen.

Kalau kita bandingkan Borang EA /EC Pindaan 2008 dengan Borang EA/EC tahun terdahulu ada beberapa perbezaannya. Antaranya seperti berikut.

Di bahagian A Butiran Pekerja tiada lagi ruangan butiran suami bagi wanita yang telah berkahwin.

Bahagian B Pendapatan Penggajian Manfaat dan Tempat Kediaman pula hanya menyenaraikan pendapatan yang dikenakan cukai sahaja. manfaat dan Prequisit yang dikecualikan di dalam Bajet 2009 tidak disenaraikan disini.

Segala Elaun Manfaat dan Prequisit yang dikecualikan cukai cuma akan disenaraikan di bahagian G. Jadinya untuk isi borang nyata cukai (Borang BE) di ruangan pendapatan penggajian cuma perlu masukkan jumlah bahagian B sahaja dengan tanpa masukkan nilai sen.

Senang kan? Takperlu pikir lagi elaun ni kena cukai ke tidak. Kalau dah masuk bahagian B kirala sekali dalam pendapatan yang boleh dicukai.

Sekarang ni dah masuk bulan Mac. Pastinya bulan ni Majikan sudah edarkan Borang EA /EC masing-masing. jadi kalau dah terima borang EA/EC bolehla e-filing.

Sepertimana tema Bulan Perkhidmatan Pembayar Cukai tahun ini

Cukai dihujung Jari anda. Jom e

Read More...

11 November 2008

Pendapatan yang dikenakan cukai

Ramai yang bertanyakan, adakah semua pendapatan kita dikenakan cukai? Jawapannya jika pendapatan kita termasuk dibawah kategri kategori berikut.

1. Perolehan-perolehan atau keuntungan daripada sesuatu perniagaan yang dijalankan bagi sesuatu tempoh.

- Jika kita mengusahakan perniagaan samada secara milikan tunggal atau secara perkongsian. Pendapatan bersih kita perlulah dilaporkan di borang nyata cukai pendapatan. Pendapatan bersih adalah pendapatan kasar perniagaan ditolak dengan perbelanjaan yang dibenarkan.



- Segala pendapatan dari perniagaan hendaklah direkodkan dan disimpan rekodnya bagi tujuan rujukan dan auditan. Sekiranya pemilik kurang pasti bagaimana untuk melaporkan pendapatan perniagaannya sila dapatkan akauntan bertauliah atau agen cukai yang sah untuk membantu melaporkan pendapatan perniagaan tersebut.


2. Perolehan atau keuntungan daripada sesuatu penggajian.

- Sekiranya anda keja makan gaji atau anda seorang pengarah sesebuah syarikat yang menerima bayaran pengarah, pendapatan anda juga boleh dikenakan cukai. Pendapatan penggajian ini tidak hanya gaji yang diterima, tetapi juga termasuk bonus, elaun-elaun yang tidak dikecualikan, faedah-faedah berupa barangan seperti kereta, rumah, pembantu rumah, pemandu, minyak kereta, tukang kebun, yuran sekolah anak dan faedah lain. Termasuk juga jika cukai anda ditanggung oleh majikan, jumlah cukai yang majikan bayar itu juga boleh dikenakan cukai. Pemilik perniagaan yang mengambil gaji juga mesti melaporkan gaji yang diambilnya di ruang pendapatan penggajian.

Mulai Tahun Taksiran 2008 pengecualian diberikan ke atas pendapatan berikut:

i. kad petrol atau elaun petrol atau elaun perjalanan dari rumah ke
tempat kerja (pergi/balik) sehingga RM2,400 setahun;

ii. kad petrol atau elaun petrol atau elaun perjalanan dan kad tol atas
urusan rasmi sehingga RM6,000 setahun;

iii. elaun atau fi meletak kenderaan;

iv. elaun makan;

v. elaun atau subsidi penjagaan anak-anak sehingga RM2,400
setahun;

vi. telefon, telefon bimbit, bil telefon, pager dan personal data
assistant (PDA) dan langganan internet;

vii. barangan majikan sendiri yang diberi secara percuma atau diberi
pada harga diskaun yang mana nilai diskaunnya tidak melebihi
RM1,000 setahun;

viii. perkhidmatan majikan sendiri yang diberi secara percuma atau
diberi pada harga diskaun dengan syarat manfaat ini tidak
dipindahkan kepada pihak lain;

ix. subsidi kadar faedah bagi pinjaman berjumlah sehingga
RM300,000 untuk perumahan, kenderaan penumpang bermotor
dan pendidikan. Pengecualian ini diberi ke atas pinjaman sedia
ada dan pinjaman baru;

x. manfaat perubatan yang dikecualikan cukai diperluaskan untuk
meliputi perbelanjaan materniti dan perubatan tradisional seperti
ayurvedic dan akupunktur; dan

xi. perkuisit sedia ada diperluaskan kepada anugerah berkaitan
inovasi, peningkatan produktiviti atau kecekapan seperti Six Sigma
Award serta nilai pengecualian dinaikkan daripada RM1,000
kepada RM2,000 setahun.

Pengecualian ini tidak dipanjangkan kepada pengarah syarikat terkawal,
pemilik tunggal dan perkongsian.

Perbelanjaan elaun, manfaat berupa barangan dan perkuisit oleh majikan
dibenarkan potongan sepenuhnya walaupun tidak dinyatakan dalam kontrak
perkhidmatan pekerja.

3. Dividen, faedah atau diskaun.

- Dividen yang dikenakan cukai adalah dividen yang diterima daripada saham syarikat atau unit amanah yang tidak dikecualikan cukai oleh kerajaan. Sebelum dasar single tier ssystem dilaksanakan pendapatan dividen yang diterima adalah pendapatan bersih. Kemudian pembayar cukai boleh menuntut kembali cukai syarikat yang telah ditolak oleh syarikat daripada LHDN sekiranya ada lebihna cukai yang kena dibayar dengan cukai yang telah dipotong syarikat yang mengeluarkan dividen. Walaubagaimanapun selepas sistem single tier dilaksanakan sekiranya peruntukan syarikat dibawah seksyen 108 telah habis digunakan, maka cukai yang syarikat potong ke atas dividen adalah cukai sebenar dan pembayar cukai tidak perlu melaporkan lagi pendapatan dividen tersebut.



- Faedah pula, kebanyakan faedah yang diterima adalah dikecualikan sepenuhnya cukai kerana tertakluk dibawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (ABIK 1989) bagi simpanan. Ini kerana cukai pegangan telah dibayar oleh bank. Jadi kalau dapat faedah dari simpanan kat bank tu takyah risaula dan tak perlu lapor di borang nyata cukai pendapatan.


4. Sewa, royalti atau premium.

- Sewa ni adalah pendapatan sewa yang diterima samada sewa bangunan atau rumah atau harta lain. Pendapatan sewa boleh ditolak dengan belanja yang dibenarkan seperti belanja pembaikan, belanja faedah pinjaman, belanja untuk mencari penyewa baru sekiranya telah disewakan sebelum ini, cukai tanah dan cukai pintu.



- Royalti adalah dikenakan cukai tetapi royalti yang diterima dari perkhidmatan berikut diberi pengecualian sejumlah amaun. Jadi pendapatan kasar royalti ditolak dengan pengecualian itula pendapatan yang dikenakan cukai.

i. Karya seni (selain daripada lukisan asal) dikecualikan RM6,000 setahun

ii. Cakera atau pita rakaman dikecualikan RM6,000 setahun

iii. Penterjemahan buku atau karya kesusasteraan atas permintaan agensi di bawah Kementerian Pendidikan atau Pejabat Peguam Negara dikecualikan RM12,000 setahun

iv. Karya persuratan atau lukisan asal dikecualikan RM20,000 setahun

v. Gubahan muzik dikecualikan RM20,000 setahun

vi. Persembahan kebudayaan yang mendapat Kelulusan Menteri Kewangan.


Walau bagaimanapun, pengecualian untuk iii, v dan vi tidak terpakai jika bayaran yang diterima menjadi sebahagian daripada gaji yang diterima dalam menjalankan tugas rasmi.


5. Pencen, anuiti atau lain-lain bayaran berkala yang bukan di bawah mana-mana perenggan yang terdahulu.

6. Perolehan-perolehan atau keuntungan yang bukan di bawah mana-mana perenggan yang terdahulu.

7. Kelas-kelas pendapatan khas.

Read More...