ARKIB : 08/09/2006 Petikan dari Utusan Malaysia
Agensi kerajaan disaran tubuh Askar Wataniah
Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI
BANGI 7 Sept. – Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan supaya lebih banyak agensi kerajaan dan badan berkanun menubuhkan Askar Wataniah di tempat masing-masing.
Timbalan Perdana Menteri berkata, program ini sebenarnya mampu melahirkan individu yang berdisiplin, semangat berpasukan, yakin diri, mempunyai ketahanan fizikal dan mental.
Menurutnya, di samping anggota tetap, negara amat memerlukan pasukan simpanan seperti Askar Wataniah sebagai barisan pertahanan kedua bagi melindungi kawasan strategik dan bersama anggota tetap di barisan hadapan sekiranya diperlukan.
“Justeru, Kementerian Pertahanan menyasarkan sebelum 2020, bilangan Askar Wataniah akan meningkat kepada tiga kali ganda berbanding sekarang iaitu 44,000 orang bagi mewujudkan benteng pertahanan negara yang kuat.
“Saya berharap agensi kerajaan dan badan berkanun melihat latihan ketenteraan ini sebagai satu program yang boleh memberi manfaat kepada kakitangan dari segi membina semangat disiplin yang tinggi dan boleh meningkatkan mutu kerja,’’ katanya pada sidang akhbar selepas majlis Pelancaran Pasukan Askar Wataniah Hasil di sini hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dan Panglima Tentera Darat, Tan Sri Abdul Aziz Zainal.
Menurut Najib yang juga Menteri Pertahanan, tindakan yang diambil oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mewujudkan pasukan wataniahnya sendiri dan mewajibkan semua pegawai baru untuk mengikuti latihan asas perajurit muda harus dipuji.
“Dengan cara ini, maka LHDN bukan sahaja menyumbang kepada pertahanan negara tetapi dapat memupuk barisan pegawai berdisiplin, mempunyai motivasi tinggi, berani, cekal dan dapat bergerak dalam satu pasukan.
“Ini boleh dilihat melalui prestasi LHDN yang semakin meningkat iaitu pada tahun lalu, hasil kutipan berjumlah RM56.8 bilion dan tahun ini dijangka melepasi RM60 bilion, malah setakat ini RM45 bilion sudah dikutip,’’ katanya.
Najib turut memberitahu, setakat ini kerajaan masih belum mengeluarkan arahan untuk mewajibkan semua rakyat menyertai Askar Wataniah.
“Ia masih secara sukarela,’’ jelasnya.
Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Tan Sri Zainol Abidin Abd. Rashid, sejak diwujudkan, program ala ketenteraan itu memberi impak yang positif kepada organisasi dan negara.
Sehubungan itu, LHDN telah menetapkan supaya semua pegawai baru eksekutif gred 7 diwajibkan mengikuti kursus asas perajurit muda sebelum disahkan dalam jawatan mulai kemasukan 1 Oktober 2003.
“LHDN juga berhasrat untuk memperluaskan program wataniah ini kepada semua gred jawatan lantikan baru pada masa hadapan,’’ katanya.
Setakat ini, menurutnya, LHDN mempunyai 635 pegawai yang telah mengikuti Kursus Asas Perajurit Muda sejak mula dilaksanakan pada 2002.
Jumlah itu menjadikan LHDN satu-satunya agensi yang mempunyai anggota wataniah teramai berbanding agensi kerajaan dan badan berkanun lain.
Adguard. An adblock app.
5 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan