09 Januari 2009

LHDN siapkan jadual PCB 2009. Petikan Utusan Malaysia 08/01/2009

KUALA LUMPUR 7 Jan. - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sudah menyiapkan jadual Potongan Cukai Berjadual (PCB) baru yang mengambil kira perubahan kadar cukai pendapatan individu seperti diumumkan dalam Bajet 2009.

Pegawai Perhubungan Awam LHDN, Najlah Ishak berkata, jadual baru itu kini sudah boleh digunakan oleh majikan.

''Potongan cukai bagi saraan tahun kebelakangan yang dibayar dalam tahun 2009 hendaklah menggunakan jadual lama (pindaan 2004).

''Bagaimanapun, bonus dan yuran pengarah tahun kebelakangan yang dibayar dalam tahun 2009 hendaklah dipotong menggunakan jadual yang baru,'' katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Tambah Najlah, kelonggaran melaksanakan jadual baru sehingga saraan bulan Mac 2009 diberikan kepada majikan yang mempunyai pekerja yang ramai dan majikan yang menggunakan sistem penggajian berkomputer.

''Majikan mestilah membuat permohonan secara bertulis kepada cawangan LHDN yang mengendalikan fail majikan masing-masing,'' katanya.

Jelas beliau, jadual PCB dan nota penerangan baru itu boleh didapati daripada laman web LHDN iaitu www.hasil.gov.my.

''Jadual PCB dan nota penerangan boleh diperolehi di pejabat cawangan LHDN pada akhir Januari 2009,'' kata Najlah.

Laporan sebelum ini menyebut, sistem baru PCB yang bakal dilaksanakan mulai akhir bulan ini lebih fleksibel kerana memberi pilihan kepada majikan dan pekerja menentukan sendiri jumlah potongan cukai pada setiap bulan.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Hasmah Abdullah turut dilaporkan memberitahu sistem baru itu mengambil kira pengecualian cukai ke atas beberapa kategori elaun termasuk kad petrol, elaun perjalanan dan tol seperti yang diumumkan dalam bajet 2009.

1 ulasan:

  1. tak lansung tentang cukai pendapatan

    BalasPadam