Oleh ABDUL RAHIM ANUAR
SETELAH E-filing dilaksanakan dengan jayanya, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) baru-baru ini memperkenalkan E-stamping. Ia adalah prosedur baru penyeteman secara dalam talian pada surat cara atau dokumen yang akan dilaksanakan hari ini (1 Januari 2009).
Seperti E-Filing, E-stamping lebih selamat berbanding penggunaan duti setem konvensional kerana setiap data yang dimasukkan dalam maklumat pengguna tidak boleh diedit atau diubah oleh orang lain termasuk pegawai LHDN yang terlibat.
Selain negara, E-stamping telah pun dilaksanakan dengan jayanya oleh Jabatan Hasil Dalam Negeri (IRD) Hong Kong dan Pihak Berkuasa Hasil Dalam Negeri (IRAS) Singapura.
Kaedah lama duti setem telah digunakan sejak 1949 lagi di bawah Akta Setem 1949. Akta itu memperuntukkan pengenaan duti ad valorem (iaitu mengikut nilai) ke atas surat cara (dokumen) yang berikut:
Surat cara pemindahan (secara jualan atau hadiah) hartanah termasuk sekuriti yang boleh dipasarkan (iaitu stok pinjaman dan saham syarikat awam yang disenaraikan di Bursa Malaysia), saham-saham syarikat yang lain dan harta tak ketara contohnya hutang buku, hak di sisi undang-undang dan nama baik;
Surat cara yang mewujudkan kepentingan ke atas harta seperti penyewaan dan pajakan berkanun;
Surat cara sekuriti untuk wang termasuk surat cara yang mewujudkan kontrak untuk pembayaran atau obligasi untuk pembayaran (yang dikenali sebagai bon); dan
Surat cara pasaran modal yang tertentu contohnya Nota Kontrak.
Pembayaran boleh dibuat dengan cara wang tunai (jika duti atas sesuatu dokumen tidak melebihi RM100) atau setem hasil (jika duti atas sesuatu dokumen tidak melebihi RM500) atau kiriman wang, cek peguam atau draf bank di atas nama Timbalan Pemungut Duti Setem dan hendaklah disertakan bersama-sama dengan surat cara yang berkenaan kepada pejabat setem dengan tangan atau melalui surat berdaftar. Sumbangan duti setem kepada hasil negara ialah hampir RM3 bilion setahun.
Dengan pelaksanaan sistem secara dalam talian ini, prosedur baru yang diperkenalkan oleh LHDN dijangka dapat menghapuskan kegiatan pemalsuan setem tertera dan setem hasil. Urusan E-stamping itu boleh selesai dalam tempoh masa hanya 10 minit. Ia mudah dicapai di mana sahaja, menjimatkan masa memproses surat cara serta mempercepatkan proses dan sistematik malah pengguna tidak perlu hadir ke kaunter dan bersesak-sesak. Dalam zaman ini, masa adalah emas.
Bagi menyemak kesahihan resit dan sijil setem, para pengguna boleh berbuat demikian di Pejabat Setem LHDN atau secara dalam talian dengan menggunakan nombor taksiran dokumen dan nombor resit atau sijil berkenaan.
Di samping membayar secara manual di kaunter seperti menggunakan bank draf, cek dan tunai, pengguna boleh membayar melalui beberapa bank secara dalam talian.
Diperkukuhkan
Jaminan keselamatan penggunaan E-stamping, begitu juga dengan E-filing, diperkukuhkan lagi dengan penguatkuasaan undang-undang siber sejak tahun 1997.
Antara undang-undang siber yang berkaitan dengan pengurusan aktiviti dalam talian ialah Akta Tandatangan Digital 1997, Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Hakcipta (Pindaan) 1997, Akta Perdagangan Elektronik 2006, Akta Aktiviti Kerajaan Elektronik 2007, dan Rang Undang-undang Perlindungan Maklumat Peribadi yang sedang digubal.
Satu daripada penghalang utama kepada perkembangan urusan transaksi dalam talian ialah aspek keselamatan terutama berkaitan dengan keraguan pengguna mengenai tahap keselamatan urusan mereka di Internet.
Akta Tandatangan Digital 1997 dan pengeluaran lesen Pihak Berkuasa Pemerakuan (CA) ialah antara usaha positif yang telah diambil oleh kerajaan untuk menangani isu keselamatan transaksi dalam talian yang berhubungan dengan undang-undang kontrak dan penyelesaian pertelingkahan antara dua pihak yang melakukan transaksi itu.
Terdapat tiga pihak berkuasa pensijilan yang diberi kuasa oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk beroperasi sebagai pihak ketiga dalam mengeluarkan tandatangan digital, DigiCert Sdn. Bhd. (DigiCert), MSC Trustgate.com Sdn. Bhd. (MSC Trustgate) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
Kedua-dua DigiCert dan MSC Trustgate menawarkan perkhidmatan pemerakuan dengan tanda tangan digital menjamin pelayan jaringan, pelayar and emel pakej dengan satu tahap jaminan.
BNM mengeluarkan sijil tanda tangan digital di bawah Real Time Electronic Transfer of Funds and Securities atau sistem RENTAS. Selain itu, BNM menyediakan perkhidmatan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), institusi kewangan dan broker sejagat.
Keyakinan orang ramai ke atas transaksi dalam talian semakin meningkat. Ini jelas dengan peningkatan sijil tandatangan digital. Berdasarkan laporan SKMM, bagi tempoh tahun 2002-2007, sijil tandatangan digital meningkat hampir 30 kali ganda daripada 42,497 pelanggan kepada 1.3 juta pelanggan.
Peningkatan itu sebahagiannya juga berpunca daripada kejayaan E-filing yang borang Hasil Dalam Negeri dihantar secara elektronik melalui Internet.
Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Perdagangan Elektronik 2006 dan Rang Undang-undang Perlindungan Maklumat Peribadi merupakan undang-undang yang berkaitan dengan perlindungan pengguna apabila melakukan transaksi atas talian.
Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), pada tahun 2004, sebanyak 606 kes dilaporkan mengikut Akta Jenayah Komputer 1997 yang membabitkan kerugian hampir RM2 juta. Bagaimanapun pada tahun 2005, ia menurun kepada 283 kes dengan jumlah kerugian hampir RM1.2 juta.
Kes pencerobohan komputer hanya membabitkan hampir dua peratus daripada jumlah keseluruhan kes siber yang disiasat manakala bagi kes jenayah komputer pula kebanyakannya membabitkan pengeluaran wang tanpa kebenaran pemiliknya melalui mesin juruwang automatik (ATM).
Akta Perdagangan Elektronik 2006 juga melindungi pengguna yang membuat transaksi atas talian. Langkah itu untuk membolehkan para pengguna membawa peniaga yang didapati melakukan penipuan ke tribunal pengguna dan dikenakan tindakan.
Kerajaan sedang menggubal Rang Undang-Undang Perlindungan Data Peribadi (PDP) bagi melindungi data peribadi individu dan meningkat lagi keselamatan aktiviti transaksi atas talian.
Mengawal
Rang undang-undang itu mengawal selia operasi penjualan maklumat atau status kewangan peribadi individu. Penjualan maklumat atau status kewangan peribadi seseorang seperti yang dilakukan oleh syarikat rujukan kredit, Credit Tip Off Service Sdn. Bhd. (CTOS) merupakan salah guna maklumat peribadi tanpa meminta izin daripada individu yang berkenaan.
CTOS telah didakwa oleh kerajaan di bawah Seksyen 73 Akta Jenayah Komputer 1997 dan Akta lain seperti di bawah Seksyen 4 dan 12, Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, Seksyen 4, Akta Rahsia Rasmi 1972; Seksyen 22 Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989; dan Akta Perbankan Islam 1983.
Peningkatan aktiviti berkaitan dengan pencerobohan data-data peribadi pengguna boleh menimbulkan kurang keyakinan rakyat untuk menggunakan saluran elektronik dalam transaksi mereka.
Perkara mengenai perlindungan dan keselamatan perlu diberi perhatian untuk meningkatkan aktiviti transaksi dalam talian dan e-dagang apabila pengguna Internet merasa yakin akan keselamatan urusannya.
Undang-undang siber yang mempunyai liputan kuasa perundangan yang meluas adalah penting. Ini kerana sumbangan aktiviti e-dagang adalah semakin signifikan dalam ekonomi negara.
Oleh itu jaminan keselamatan transaksi dalam talian kepada pelaku aktiviti e-dagang adalah kritikal dengan pihak kerajaan perlu memperkemaskan undang-undang siber dari masa ke masa dan menyediakan persekitaran yang baik kepada pembangunan ICT, di samping meletakkan negara sebagai hub e-dagang dan ICT di peringkat global yang terjamin keselamatannya.
Adguard. An adblock app.
5 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan