Salam sejahtera.
Berjumpa lagi kita di dalam posting kali ini yang akan menyentuh berkenaan PCB sebagai Cukai Muktamad atau di dalam bahasa Inggerisnya "PCB as Final Tax".Apakah itu Cukai Muktamad / "Final Tax"? Bagaimana untuk menikmati PCB sebagai Cukai Muktamad. Teruskan membaca...
Sebelum saya teruskan saya pasti ramai yang sudah mengetahui apa itu PCB. PCB adalah singkatan kepada Potongan Cukai Bulanan. Cukai yang dipotong dari gaji pekerja yang telah layak dikenakan cukai.
Kemudian apa itu Cukai Muktamad atau Final Tax. Cukai muktamad adalah cukai yang sepatutnya kena dibayar oleh seorang pembayar cukai bagi satu-satu Tahun Taksiran. Jadi jika digabungkan PCB sebagai cukai muktamad, maka apa yang dimaksudkan adalah berapa pun amaun yang telah dibuat potongan gaji dari gaji seorang pekerja tersebut boleh dianggap sebagai amaun cukai yang sepatutnya kena dibayar oleh seseorang pembayar cukai.
Bagaimana perlaksanaan PCB sebagai cukai muktamad ni. Sebagai tahun pertama perlaksanaannya ianya dilaksanakan atas pilihan pembayar cukai sendiri bagi yang telah memenuhi semua syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Apakah syarat-syarat yang telah ditetapkan? Ada 5 syarat yang telah ditetapkan bagi Tahun Taksiran 2014 iaitu:
a. Hanya mempunyai pendapatan penggajian sahaja. Tiada punca pendapatan lain selain penggajian.
b. Mesti ada PCB dilakukan oleh majikan mengikut peraturan PCB.
c. Mesti bekerja dengan majikan yang sama bagi tempoh 12 bulan iaitu dari Januari hingga Disember 2014.
d. Cukai tidak ditanggung oleh majikan.
e. Tidak memilih untuk membuat taksiran bersama dengan pasangan.
Bagi tahun taksiran 2015 pula ada sedikit perubahan syarat dilakukan.iaitu :
a. Hanya mempunyai pendapatan penggajian sahaja termasuk Manfaat Berupa Barangan dan juga Nilai Tetap Kediaman. Tiada punca pendapatan lain selain penggajian. b. Mesti ada PCB dilakukan oleh majikan mengikut peraturan PCB.
c. Tidak semestinya bekerja dengan majikan yang sama bagi tempoh 12 bulan iaitu antara Januari hingga Disember 2015.
d. Cukai tidak ditanggung oleh majikan.
e. Tidak memilih untuk membuat taksiran bersama dengan pasangan.
Jadi jika kita memenuhi sepenuhnya syarat-syarat ini apa yang kita boleh buat? Jika kita dag memenuhi sepenuhnya syarat ini kita berhak untuk memilih untuk tidak mengemukakan borang BE bagi tahun taksiran tersebut. Maknanya tiada lagi perlu isi borang BE samana secara manual atau e-filing.
Apa kesannya? Kesannya adalah semua PCB yang telah dipotong dari gaji akan dianggap sebagai cukai kena dibayar sepenuhnya dan tiada bayaran balik akan dilakukan.
Bila tarikh yang akan dianggap PCB tersebut sebagai cukai muktamad? Sebaik sahaja tamat tarikh penghantaran Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) iaitu Borang BE samada manual atau e-filing yang mana lebih lewat.
Jika selepas tarikh tersebut saya berubah hati untuk mengemukakan BNCP pula bagaimana? Pengemukaan BNCP selepas tarikh tersebut akan dianggap lewat dan akan dikenakan penalti lewat.
Jadi sekiranya berubah hati untuk mengemukakan BNCP selepas tarikh tamat dengan tujuan untuk mendapatkan bayaran balik cukai terlebih bayar anda harus memastikan lebihan bayaran itu lebih banyak dari amaun penalti yang akan dikenakan. Jika tidak bukan sahaja tidak akan menerima bayaran balik tetapi kena bayar pula tambahan cukai untuk penalti lewat.
Jadi sebelum mempertimbangkan untuk tidak mengemukakan BNCP pastikan anda telah mengambilkira kesan kesannya.
Sekian dulu sehingga berjumpa di posting akan datang.
11 April 2015
PCB sebagai Cukai Muktamad
07 April 2012
Musim Cukai tiba lagi
Bulan penghantaran Borang BE tiba lagi Hari ini 7 April 2012. Maka tingal 23 hari lagi sebelum 30 April melabuhkan tirainya. Tahun ini dimeriahkan lagi dengan M-filing. Satu lagi cara mudah untuk menghantar Borang BE secara elektronik. Hanya dengan menggunakan gajet/smartphone seperti IPAD, TAB dan lain-lain smartphone yang menggunakan operating system yang disokong. Penghantaran e-BE bukan hanya di komputer tetapi di Galaksi Tab atau Blackberry dan lain lain.Boleh dibuat di mana sahaja asalkan ada capaian internet.
Sebelum ini kita selalu mendengar alasan dari pembayar cukai yang lewat menghantar borang nyata cukai pendapatan yang mengatakan mereka berada di luar negara semasa tempoh penyerahan borang berlaku. Kini alasan seperti ini sudah tidak lagi boleh dipakai kerana kita sudah boleh menghantar borang nyata cukai pendapatan tidak kiralah borang BE ke, B , M, P atau C di mana-mana pelusuk dunia bahkan jika di angkasa lepas juga asalkan mempunyai capaian internet.
Apa lagi alasan yang diberikan? e-filing dan m-filing telah menidakkan sama sekali alasan ini. Kini kita akan dengar pula seribu satu alasan kenapa tidak mahu menggunakan e-filing atau m-filing. Ada yang katakan e-filing sukar, tidak mesra pengguna, tidak tahu menggunakan komputer dan lain-lain. e-filing telah direkacipta dengan menjadikannya semudah yang boleh. tiada lagi kalkulator diperlukan, tiada lagi kesilapan pengiraan. rujukan silang dengan nota penerangan borang yang terbina dalam. Dengan kehadiran adiknya iaitu m-filing yang lebih dipermudah dan ringan sehinggakan boleh dibuka di telefon bimbit pintar direka khas untuk individu yang sentiasa bergerak dan tiada masa untuk duduk dalam masa yang lama.
Kecualilah individu yang memang mempunyai alasan perubatan seperti telah koma selama 4 bulan dari Januari ke April.Bila sedar dari koma je dah bulan Mei. Ataupun hilang ingatan dalam tempoh tersebut dan lupa siapa dirinya. Selain dari ini memang tiada alasan lagi apatah lagi jika alasan yang diberikan tidak tahu tarikh akhir penghantaran borang nyata cukai pendapatan,tidak tahu apa yang perlu dibuat. Pada masa ini maklumat hanya dihujung jari. Sekiranya tiada capaian internet sekalipun di akhbar, televisyen dan radio sentiasa memwar-warkan tentang musim penghantaran borang nyata cukai pendapatan. Kaunter-kaunter bergerak LHDN dan taklimat-taklimat oleh petugas LHDN juga sedang bergerak aktif pada masa ini. Setiap hari mereka menerima jemputan dari badan korporat yang memerlukan penerangan tentang hal-hal percukaian.
Akhir kata pelajarilah ilmu percukaian ini kerana ianya adalah ilmu yang akan digunakan seumur hidup. Walaupun tidak untuk mengajar orang lain tetapi untuk kegunaan sendiri. Selagi kita hidup ilmu percukaian akan terus digunakan.
Jadilah Wira Negara yang sebenar kerana sememangnya 'Andalah Wira Negara'
24 April 2011
Seminggu lagi ke tarikh akhir. Dah hantar ke belum?
Hari ini 24 April 2011. Tinggal hanya genap 7 hari lagi sebelum 12 malam 1 Mei 2011. Tarikh akhir penghantaran Borang BE iaitu Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi individu tiada pendapatan perniagaan. Sudahkaah anda menunaikan tanggungjawab anda kepada negara tercinta ini? Tahniah kepada yang sudah menunaikannya. Bagi yang belum lagi sedangkan anda layak dan telah mempunyai nombor rujukan cukai pendapatan masih ada masa lagi untuk menunaikan tanggungjawab anda.Janganlah tunggu hingga ke saat akhir 30 April 2011 baru nak tunaikan tanggungjawab. Nanti masa tu itulah keadaan kelam kabut akan berlaku. Ketika itulah baru nak mendapatkan Borang BE manual, no pin e-filing dan barulah nak reset katalaluan e-filing yang telah ditinggalkan setahun yang lalu. Ditambah lagi dengan kadar capaian laman web e-filing yang dijangka sesak pada masa itu akan menyebabkan capaian menjadi perlahan. Maka akan terdengarlah suara-suara sumbang yang mengutuk dan tak kurang mencaci apabila tidak dapat melayari laman web e-filing dan melangsaikan penghantaran e-BE melalui e-filing.
Hari ini juga hari kedua kaunter Bulan Perkhidmatan Pembayar Cukai(BPPC) dibuka pada hujung minggu. Jadi Jangan lepaskan peluang untuk yang tiada kemudahan komputer dan belum ada lagi no pin e-filing dan terlupa kata laluan untuk mendapatkannya sekaligus boleh terus menghantar borang e-BE di kaunter BPPC yang dibuka dari 8.00 pagi hingga 6.00 petang. Ingat tau sehingga 6 petang sahaja. Tiada lagi kaunter sehingga 8 malam. Kalau datang selepas jam 6 maka pejabat yang tiada penghuni sahajalah yang akan ada disitu.
Gunakanlah sepenuhnya kaunter yang dibuka ini untuk menghantar e-BE, membayar dengan cek dan juga memohon bayaran secara ansuran sehingga maksimum 6 kali ansuran samada secara potongan gaji atau ansuran sendiri. Juga untuk memohon kedudukan cukai dan bayaran balik. Dapatkanlah nasihat dari pegawai LHDN yang sentiasa ramah dengan senyuman dan sedia membantu dan memberikan perkhidmatan terbaik untuk anda.
Akhir kata marilah kita bersama membangun negara dan berkhidmat untuk negara dengan menunaikan tanggungjawab kita menyumbangkan cukai pendapatan.

