22 November 2008

Bayaran Balik Cukai

Tahukah anda yang anda boleh mendapatkan semula cukai anda yang telah terlebih bayar? Jika sebelum ini anda tidak mengetahui perkara ini kini anda sudah mengetahuinya.

Mesti ramai antara kita yang telah dipotong gaji setiap bulan untuk cukai. Adakah anda perhatikan berapa banyak yang telah dipotong? Bagaimana anda hendak tahu jika anda telah terlebih bayar? Anda boleh mengetahuinya apabila anda mengira cukai pendapatan anda sendiri. Jumlah potongan untuk setahun boleh anda lihat di dalam Borang EA yang diberikan oleh Majikan anda setiap tahun. Anda kehilangan borang EA? Dapatkan salinan dari Majikan anda. Sekiranya cukai yang anda kira kurang dari jumlah potongan yang dibuat maka anda telah terlebih bayar dan anda boleh mendapatkan semula baki cukai yang terlebih bayar itu.

Bagaimana cara untuk mendapatkan bayaran balik ini? Pertama sekali cubalah untuk mengisi Brang Nyata melalui E-Filing. Ini kerana borang anda akan diproses dalam cuma 3 hari dan lagi cepat borang anda diproses lagi cepat anda mendapat bayaran balik.Walaubagaimanapun sebelum anda memohon untuk bayaran balik pastikan jika anda tiada cukai tertunggak untuk tahun tahun terdahulu. Caranya adalah dengan memohon kedudukan cukai dari Cawangan LHDNM di mana fail cukai pendapatan anda diuruskan. Jika anda tidak mengetahui Cawangan LHDNM yang menguruskan fail anda hubungi mana-mana Cawangan terdekat dan mereka akan berhubung dengan Cawangan LHDNM yang menguruskan fail anda.

Mulai Tahun Taksiran 2006 bayaran balik dibuat secara automatik tanpa menunggu permohonan daripada pembayar cukai. Walaubagaimanapun sebelum anda menerima bayaran balik anda kemungkinan akan di audit terlebih dahulu. Maklumlah Sistem Taksir Sendiri semua orang akan cuba untuk mengurangkan cukai yang kena dibayar. Jadi penguatkuasaan oleh LHDNM adalah melalui audit. Anda mungkin akan diminta untuk memberikan dokumen-dokumen Borang EA, Penyata Insuran, resit-resit asal untuk bil-bil perubatan, pembelian buku, komputer dan lain-lain. Sekiranya diminta untuk memberikan dokumen ini hubungilah Cawangan LHDNM tersebut dengan kadar segera kerana jika anda gagal memberikan dokumen yang diminta ada kemungkinan pelepasan tersebut akan ditarik balik dan pindaan akan dibuat keatas taksiran cukai anda. Ini bermakna akan ada cukai tambahan dikenakan ke atas anda. Ini juga bermakna jumlah bayaran balik anda akan berkurangan atau mungkin juga anda kena bayar tambahan cukai tersebut.

Kesimpulannya, semasa mengisi Borang Nyata Cukai Pendapatan pastikan anda mengisi sejujur-jujurnya dan setiap pelepasan yang dituntut haruslah disokong dengan bukti-bukti yang tidak akan menyebabkan pelepasan anda ditarik balik. Akhir sekali sekiranya anda masih belum menerima bayaran balik, hubungilah Cawangan LHDNM yang menguruskan fail cukai pendapatan anda dan minta untuk bercakap dengan Unit Pungutan atau Unit Bayaran Balik.

2 ulasan: