25 April 2009

25 April 2009 - Tinggal 5 Hari lagi. Coundown to 30 April 2009

Hari ini tinggal 5 hari lagi sebelum 12 tgh malam 30 April 2009. Di kaunter BPPC semakin ramai yang hadir ke Pejabat LHDN diseluruh Malaysia. Jumlah petugas ditambah untuk melayan pembayar cukai yang datang mendapatkan perkhidmatan.

Untuk hari ini dan esok kaunter dibuka dari jam 8.00 pagi hingga 6 petang. dan minggu hadapan kaunter dibuka sehingga jam 10 malam. Seperti biasa hari terakhir iaitu 30 April dijangka kaunter tidak akan lengang sehingga jam 12 tgh malam. Sepertimana tahun tahun sudah.

Jadi ambillah kesempatan ini untuk datang dan bertanya segala kemusykilan dan seterusnya mengisi Borang BE samada secara Manual atau E-filing.

Juga jangan dilupa sekiranya ada cukai atau baki cukai yang perlu dibayar bayaran perlu dibuat pada atau sebelum 30 April 2009 juga. Tidak perlu tunggu apa-apa Notis taksiran dari LHDN kerana di dalam Sistem Taksir Sendiri, Pembayar cukai yang mengira cukai mereka sendiri dan Borang BE tersebut disifatkan sebagai Notis Taksiran. Tiada lagi Notis Taksiran dihantar kecuali untuk Taksiran Tambahan dan Taksiran Kurangan dan juga Taksiran untuk Borang yang lewat diterima.

Bayaran Boleh dibuat di CIMB Bank,Public Bank, Maybank, dan Kaunter Bayaran diJalan Duta. Sekiranya ada Internet Banking boleh juga membuat bayaran di laman web Bank yang sama di atas. Selain itu LHDN juga ada perkhidmatan e-payment melalui FPX dilaman web e-filing.

Rasanya itu sahaja maklumat pagi ini.

Cukai dihujung jari anda. Jom e.

Read More...

18 April 2009

Dateline Borang BE - 30 April 2009












Hari ini,18 April 2009, Tinggal 13 hari lagi untuk memfailkan Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi yang berpendapatan Penggajian iaitu Borang BE. Samada mengisi borang secara manual atau e-filing bagi yang belum lagi menghantar Borang BE bertindaklah cepat sebelum terlewat.

Bagi menggalakkan dan membantu Pembayar cukai mengisi dan seterusnya menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan semua Cawangan LHDN telah membuka kaunter perkhidmatan Bulan Perkhidmatan Pembayar Cukai (BPPC) . Kaunter khas yang dikhususkan untuk membantu dalam pengisian Borang nyata cukai pendapatan dibuka setiap hari bekerja dari jam 8.00 pagi hingga 8.00 malam. Mulai hujung minggu ini iaitu hari ini kaunter juga dibuka pada hujung minggu dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang. Jadi tiada lagi alasan sukar nak datang ke kaunter kerana sukar nak dapat cuti dan sebagainya.

Untuk 2 minggu yang terakhir ini sudah semestinya ramai yang berduyun-duyun datang ke kaunter yang disediakan untuk mengisi Borang Nyata Cukai Pendapatan terutama secara e-filing. Samada untuk kali pertama atau sudah mencubanya untuk tahun tahun lalu ternyata pembayar cukai lebih selesa menggunakan e-filing di kaunter BPPC ini. Mungkin dengan bantuan petugas BPPC ini mereka lebih yakin dan tiada rasa was was dalam melaporkan pendapatan masing masing.

Tidak cukup dengan kaunter di pejabat beberapa syarikat juga turut menjemput LHDN membuka kaunter di Syarikat mereka untuk memudahkan kakitangan mereka menunaikan tanggungjawab kepada negara tercinta ini. Minggu lalu di Skypark Subang, minggu ini di The Star dan minggu hadapan di TV3 pula.

Saya juga tidak terkecuali untuk menjadi salah seorang petugas dan untuk 2 minggu ini saya turut ditugaskan untuk bertugas pada hujung minggu. Jadi kalau yang berada di kawasan Petaling Jaya bolehlah berjumpa saya kalau kebetulan saya bertugas pada masa itu.

Jadi jangan tunggu lagi. Bertindaklah sebelum terlambat.

Akhir kata Cukai dihujung jari anda. Jom e

Read More...

06 April 2009

Pesta 30 April

Sedutan berita di atas berlaku 30 April tahun lepas di Pejabat saya di Kelana Jaya. Suasana seakan-akan Pesta JomHeboh. Wartawan dan orang ramai memenuhi segala ruang kaunter dan tempat menunggu serta bilik e-filing. Suasana terus segar dari pagi hinggalake jam 12 tgh mlm. iaitu detik2 terakhir sebelum tamat tempoh penghantaran borang BE

Read More...

05 Mac 2009

Borang EA / EC


Salam sejahtera. Kali ini topik yang diceriterakan adalah Borang CP 8A -Pindaan 2008 atau lebih dikenali sebagai Borang EA bagi kakitangan Swasta dan juga Borang EC bagi Agensi Kerajaan. bagi yang telah lama bekerja pastinya Borang EA/EC sudah tidak asing lagi buat mereka. Walaubagaimanapun pada tahun ini diperkenalkan Borang EA Pindaan 2008 selaras dengan Bajet 2009 yang dibentangkan di Parlimen.

Kalau kita bandingkan Borang EA /EC Pindaan 2008 dengan Borang EA/EC tahun terdahulu ada beberapa perbezaannya. Antaranya seperti berikut.

Di bahagian A Butiran Pekerja tiada lagi ruangan butiran suami bagi wanita yang telah berkahwin.

Bahagian B Pendapatan Penggajian Manfaat dan Tempat Kediaman pula hanya menyenaraikan pendapatan yang dikenakan cukai sahaja. manfaat dan Prequisit yang dikecualikan di dalam Bajet 2009 tidak disenaraikan disini.

Segala Elaun Manfaat dan Prequisit yang dikecualikan cukai cuma akan disenaraikan di bahagian G. Jadinya untuk isi borang nyata cukai (Borang BE) di ruangan pendapatan penggajian cuma perlu masukkan jumlah bahagian B sahaja dengan tanpa masukkan nilai sen.

Senang kan? Takperlu pikir lagi elaun ni kena cukai ke tidak. Kalau dah masuk bahagian B kirala sekali dalam pendapatan yang boleh dicukai.

Sekarang ni dah masuk bulan Mac. Pastinya bulan ni Majikan sudah edarkan Borang EA /EC masing-masing. jadi kalau dah terima borang EA/EC bolehla e-filing.

Sepertimana tema Bulan Perkhidmatan Pembayar Cukai tahun ini

Cukai dihujung Jari anda. Jom e

Read More...

06 Februari 2009

E-filing 2008






Pagi tadi ada Taklimat E-Filing 2008 yang diadakan sebagai salah satu roadshow taklimat E-filing oleh Jabatan Teknologi Maklumat dan Jabatan Pengurusan Hasil sebagai pembina aplikasi E-filing.

E-filing 2008 secara luarannya tidak banyak berbeza dengan e-filing 2007 yang telah memperkenalkan Roaming PKI cuma diubah mengikut perubahan Akta Cukai Pendapatan yang telah diluluskan di dalam pembentangan Bajet 2008. Walaubagaimanapun terdapat satu penambahan yang boleh dikatakan menarik dan amat berguna terutama yang sentiasa mengadu mendapat bayaran balik dividen yang lambat kerana proses pengesahan baucar dividen.

Mulai tahun ini pembayar cukai yang mempunyai pendapatan dividen dan merupakan kes bayaran balik tidak perlu membuat pengesahan baucar dividen dan lampiran HK3. Walaubagaimanapun bagi kes bayaran balik cukai, pembayar cukai perlu mengisi borang HK3 secara online di dalam borang e-filing secara mandatori. Borang tidak dapat dihantar selagi borang HK3 tidak diisi dengan lengkap. Namun demikian pembayar cukai tidak perlu mengira untuk mengkasarkan semula pendapatan dividen tersebut kerana aplikasi e-filing akan mengira secara automatik. Pembayar cukai cuma perlu mengisikan maklumat baucar dividen mengikut apa yang tertulis di baucar dividen itu sahaja. Jumlah pendapatan dividen dan tolakan Seksyen 110(Dividen) akan dikira secara automatik.


Senario di atas adalah semata-mata untuk pendapatan Dividen dari Saham biasa sahaja. Bagaimana jika pendapatan dividen dari Unit Amanah (Unit Trust)? Untuk pendapatan dividen dari Unit Amanah baucar dividen perlu di asingkan dan dikira seperti biasa secara manual. Lembaran kerja pula adalah lembaran HK4. Pembayar cukai perlu menjumlahkan pendapatan kasar dividen Unit Amanah dan memasukkan jumlah tersebut ke ruangan Lain-lain perolehan. Untuk tolakan seksyen 110 pula perlu dimasukkan di ruangan tolakan Seksyen 110(lain-lain)

Lain-lain penambahbaikan adalah seperti di skrin pengesahan penerimaan borang telah ditambah butang cetak dan simpan HK3 online.

Juga penambahbaikan kali ini adalah session timeout. Session timeut ni kalau kita dah masuk ke e-borang pastu kita tak buat apa-apa langsung dalam masa 20 minit. Pada masa 20 saat terakhir tu akan keluar popup beritahu akan session timeut la. jika tak buat apa-apa juga automatik akan keluar dari e borang. Walaubagaimanapun data yang telah disimpan akan masih ada. Untuk login semula login la di login e-borang dan sambung mengisi e-borang.

Read More...

27 Januari 2009

Program Memfailkan Borang tahun 2009

Pertama sekali saya nak ucapkan Selamat Menyambut Tahun Cina bagi pembaca yang berbangsa Cina. Tahun ni tahun Lembu ye. Tahun ni kebetulan berturut-turut rapat pula sambutan tahun baru. Mula dengan Tahun baru hijrah, tahun baru masihi kemudian tahun baru cina pulak.

Yang pastinya kempen Cukai Tahun Taksiran 2008 sudah bermula. Bagi yang masih mengekalkan borang secara manual mungkin anda dah terima borang nyata cukai pendapatan anda. Mungkin ada yang dah isi pun. Yang masih belum terima borang EA lagi harap bersabar. Tak lama lagi dapatla tu. Saya pun belum terima juga Borang EA dari Majikan. Tapi kalau ada simpan slip gaji sepanjang tahun dah boleh dah mencongak-congak berapa kita kena cukai tahun ni.

Bagi yang dah menggunakan e-filing untuk tahun-tahun lepas tahun ni e-filing dibuka awal sikit. Khabarnya seawal 3 Februari ni e-filing dah dibuka untuk borang BE (Individu Pemastautin dan Pendapatan Penggajian Sahaja) dan B(Individu Pemastautin Pendapatan selain penggajian). Tinggal beberapa hari lagi ni. Jadinya, dah boleh la bukak fail tahun lepas tengok apa password atau katalaluan yang kita guna tahun lepas. Yela guna setahun sekali, saya pun boleh terlupa. Sebab tu masa isi borang bagi yang datang ke kaunter BPPC dinasihatkan tulis kata laluan tersebut. Untuk rujukan masa hadapan. Bukannya apa, kalau dah tau katalaluan tak perlu la datang lagi ke kaunter/pejabat LHDN untuk reset katalaluan. Terus boleh buat dirumah kalau ada capaian internet. Kan senang dan jimat masa. Terutama bagi yang sentiasa sibuk sepanjang hari. Pukul 3 pagi pun boleh buat e-filing.

Bagi yang mengisi borang M (Bukan Pemastautin) Borang E (Majikan) dan Borang P (Perkongsian) e-filing dibuka 1 Mac untuk borang-borang ini. Untuk Ejen cukai juga bermula 1 Mac 2009 dan juga diingat ejen cukai tidak lagi dibenarkan hantar borang nyata pelanggannya di dalam format PDF bagi borang B, BE, M, E, P, TP, TF dan
TJ mulai Tahun Taksiran 2008 untuk menggalakkan penggunaan e-filing.

Seperti yang diwarwarkan sebelum ini bermula tahun ini Skim PCB 2009 telah diperkenalkan. Untuk tujuan itu tambahan masa untuk Bayaran PCB saraan Januari 2009 diberi kelonggaran daripada 10 Februari 2009 kepada 14 Februari 2009. Maknanya tambahan 4 hari lagi. Tapi ini untuk saraan bulan Januari sahaja. Bulan Februari dan seterusnya seperti biasa sebelum 10 hb bulan berikutnya. Kalau lewat dari tarikh itu akan sampailah surat tawaran kompaun lewat bayar PCB dari Unit Audit Majikan.

Bercakap pasal PCB ni, pekerja perlu semak samada jumlah potongan dinyatakan di borang EA sama dengan yang telah dipotong dari gaji kita. Kecualilah potongan untuk Bonus tahun terdahulu yang diterima pada tahun semasa yang mungkin diasingkan. Walaubagaimanapun mulai Tahun Taksiran 2009 bonus tahun 2008 yang diterima pada tahun 2009 ini akan dikira pendapatan tahun 2009 juga. Jadi majikan tidak perlu asingkan pendapatan tersebut.

Sehingga berjumpa di lain kali. Selamat menggunakan e-filing:Mudah, Tepat & Selamat

Read More...

15 Januari 2009

Cukai Tahun Taksiran 2008

Dua hari lepas saya balik dari pejabat lihat di mailbox ada Borang Nyata Cukai Pendapatan 2008. Bukan saya punya sebab saya guna E-filing tetapi tenant lama punya diorang tak tukar alamat baru. Awal jugak eh diorang hantar borang tahun ni. Dengan penerimaan borang ni maka musim baru telah bermula.

Saya pun tengoklah borang tu sebab posmen dah koyakkan sikit plastik pembalut borang tu. Saya lihat borang tahun ini lebih mudah diisi berbanding tahun-tahun sebelumnya. Nota penerangan ngan diberikan juga lebih jelas dan lebih terperinci. Bahagian yang sebelum ni pembayar cukai banyak buat kesilapan juga telah diberi penerangan tambahan. Kalau buat silap juga rasanya memang tak baca Nota Penerangan tu la. Jadi saya nasihatkan sebelum ini baca dulu Nota penerangan tu. Baca betul-betul baru isi. Nanti dah silap isi takleh padam dengan Liquid Paper. Sebabnya bila scan borang masa nak proses nanti tempat yang di liquid paper tu takkan nampak. Jadi masalah pulak nanti. Lagi satu isi gunalah pen dakwat hitam. Tak kisahlah pen basah ke ballpen ke. Janji warna hitam.

Lagi satu kesilapan yang biasa dilakukan pembayar cukai ialah memasukkan nilai sen dalam ruangan pendapatan penggajian. Tak kirala guna Borang manual ke Efiling ke kesalahan ni selalu dilakukan. Sebenarnya tak perlu masukkan nilai sen mula dari pendapatan penggajian bagi borang BE dan pendapatan Perniagaan bagi borang B sehinggalah pendapatan bercukai. Semua kalau ada sen pun bundarkan ke sa yang hampir. Bagaian pengiraan cukai dan seterusnya barulah ada ruangan sen. Kesannya nanti kalau pendapatan penggajian kita sebenarnya 35,235.55, bila kita masukkan dengan sen sekali pendapatan kita dah jadi 3,523,555.00. Dah jadi 3 juta lebih. Nanti bila taksiran bangkit sejuta lebih baru nak melompat. Ni la kes yang dinamakan digit terenjat. Juga suka diingatkan kalau isi borang secara manual tu digit sa dirapatkan ke kotak kanan sekali.

Antara ruangan baru yang diperkenalkan di Borang Nyata tahun ini adalah ruangan anak yang dituntut diri sendiri dan anak yang dituntut isteri/suami. Sebelum ni ada yang anak 2 orang tapi suami isteri dua dua tuntut 2 orang. Bila kena audit barulah tau kebenarannya. Dah kena tarik balik pelepasan tu salah seorang. Kena pulak taksiran tambahan. Mengamuk lagi. Padahal salah sendiri jugak tu.


Juga seperti yang dibentangkan di dalam Budget 2009 ada elaun dan prekuisit serta manafaat daripada majikan yang dikecualikan daripada cukai. Jadi telitila borang EA yang diterima dahulu. Mungkin ada yang majikan terlepas pandang sepatutnya boleh dikecualikan tapi ada di dalam Borang EA juga. Kalau berlaku perkara macam ni berjumpalah dengan majikan. Mungkin Borang EA pindaan akan dikeluarkan. Sebabnya kalau dah masuk borang EA maka dikira semua boleh dicukaikan.


Nampaknya kita berhenti dulu disini. Nanti kita sambung lagi. Kalau ada yang tak sure nak isi macam mana boleh hubungi saya nanti boleh bincang.Di sini juga disertakan kadar cukai sehingga Tahun Taksiran 2008

Read More...

09 Januari 2009

LHDN siapkan jadual PCB 2009. Petikan Utusan Malaysia 08/01/2009

KUALA LUMPUR 7 Jan. - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sudah menyiapkan jadual Potongan Cukai Berjadual (PCB) baru yang mengambil kira perubahan kadar cukai pendapatan individu seperti diumumkan dalam Bajet 2009.

Pegawai Perhubungan Awam LHDN, Najlah Ishak berkata, jadual baru itu kini sudah boleh digunakan oleh majikan.

''Potongan cukai bagi saraan tahun kebelakangan yang dibayar dalam tahun 2009 hendaklah menggunakan jadual lama (pindaan 2004).

''Bagaimanapun, bonus dan yuran pengarah tahun kebelakangan yang dibayar dalam tahun 2009 hendaklah dipotong menggunakan jadual yang baru,'' katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Tambah Najlah, kelonggaran melaksanakan jadual baru sehingga saraan bulan Mac 2009 diberikan kepada majikan yang mempunyai pekerja yang ramai dan majikan yang menggunakan sistem penggajian berkomputer.

''Majikan mestilah membuat permohonan secara bertulis kepada cawangan LHDN yang mengendalikan fail majikan masing-masing,'' katanya.

Jelas beliau, jadual PCB dan nota penerangan baru itu boleh didapati daripada laman web LHDN iaitu www.hasil.gov.my.

''Jadual PCB dan nota penerangan boleh diperolehi di pejabat cawangan LHDN pada akhir Januari 2009,'' kata Najlah.

Laporan sebelum ini menyebut, sistem baru PCB yang bakal dilaksanakan mulai akhir bulan ini lebih fleksibel kerana memberi pilihan kepada majikan dan pekerja menentukan sendiri jumlah potongan cukai pada setiap bulan.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Hasmah Abdullah turut dilaporkan memberitahu sistem baru itu mengambil kira pengecualian cukai ke atas beberapa kategori elaun termasuk kad petrol, elaun perjalanan dan tol seperti yang diumumkan dalam bajet 2009.

Read More...